Home Pertahanan dan Keselamatan ATM rai 309 anak tentera cemerlang dalam dunia pendidikan

ATM rai 309 anak tentera cemerlang dalam dunia pendidikan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mewujudkan pelbagai skim, insentif dan kemudahan prasarana demi kecemerlangan akademik anak-anak dan juga warganya, kata Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Beliau berkata, ia adalah sebahagian daripada sistem sokongan serta pengiktirafan atas pengorbanan warga ATM yang sentiasa menggalas tugas demi negara.

“Ia juga selari dengan kandungan perintah ulung saya, di mana ATM komited untuk terus memperkasakan kualiti hidup dan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan seluruh warga ATM termasuklah ahli keluarga,” katanya ketika sempena Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) ATM ke-29 bagi tahun 2019 di Auditorium Wisma Pertahahanan, hari ini.

Tambah Zulkifli, anugerah ini juga adalah sebagai salah satu pengiktirafan ATM terhadap pengorbanan anak-anak yang sentiasa sabar dan memahami tugas ibu bapa mereka dalam menggalas amanah negara.

Pada majlis tersebut, seramai 309 anak-anak anggota ATM yang terdiri daripada pelajar cemerlang Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan anak-anak yang berjaya melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jen Datuk Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi; Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Affendi Buang TUDM dan Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Puan Nik Amlizan Mohamed.

Zulkifli berkata LTAT dan Yayasan LTAT terus teguh dengan komited yang diberikan melalui penyaluran tajaan dan dermasiswa kepada anak-anak warga ATM sejak sejak perlaksanaan majlis ini dilaksanakan pada tahun 1991.

Sementara itu, penerima anugerah yang mendapat keputusan 11 A dalam SPM, Muhammad Daniel Rozee, penuntut Asasi Perubatan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berkata sokongan dari ibu bapa serta keluarga menjadi pendorong utama untuk berlajar bersungguh-sungguh bagi mencapai cita-cita menjadi seorang doktor kelak.

“Majlis penganugerahan seperti ini harus diteruskan bagi membuktikan yang ATM sentiasa menjaga kebajikan terutama pendidikan anak-anak warga ATM dan menarik minat anak-anak menyertai pasukan keselamatan, tambah Daniel lagi yang mengidolakan Panglima-panglima ATM sebagai pendorong untuk terus berjaya.

“Alhamdulilah dan bersyukur, anak-anak saya hari ini mendapat anugerah Kecemerlang Pendidikan ATM. Saya menggalakkan anak-anak saya untuk belajar dalam masa sendiri serta menghadkan penggunaan telefon pintar untuk mereka memberi fokus kepada peperiksaan masing-masing,” kata Kolonel Rozze Ali Rahim TUDM ayah kepada Muhammad Daniel dan Nurul Waheeda Adlin yang turut mendapat keputusan 9A dalam PT3 2018.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!