Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Saya bukan patung –  Sultan Johor

Saya bukan patung –  Sultan Johor

by Nurulhuda

MERSING, 2 Ogos – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menegaskan baginda sebagai Kolonel Komandan Grup Gerak Khas (GGK) bukan patung dan akan sentiasa mengambil tahu perkembangan Rejimen Gerak Khas.

Ini termasuk urusan perolehan peralatan untuk pasukan itu kerana menurut baginda, pihak komando tidak seharusnya menerima apa sahaja peralatan yang dicadangkan atau hendak dijual oleh pembekal.

“Saya perhatikan ada bekas-bekas Jeneral bersara menjadi ejen menjual perkakasan tentera kepada komando dengan harga tidak masuk akal,

“Sebagai contoh, pembelian bot ‘Rigid Riding Craft’ sebanyak lapan unit dicadangkan dengan kos RM5 juta seunit (sebelum ini),

“Harga ini tidak munasabah dan selepas saya campur tangan, saya berikan komando bot lebih baik serta menjimatkan kerajaan,” titah baginda pada Majlis Perbarisan Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-54 di Padang Kawad Markas 21 GGK Kem Iskandar, hari ini.

Sultan Ibrahim mengakui tindakannya mencampuri urusan perolehan GGK tidak disenangi sesetengah pihak yang ingin mengaut keuntungan sebagai ejen atau orang tengah.

“Sekiranya saya tidak mencampuri dalam urusan pembelian bot berkenaan, pasti ada pihak yang akan mengaut keuntungan berjuta ringgit, tegas baginda lagi.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut hadir mengiringi baginda ke perbarisan itu.

Turut hadir, Panglima 21 GGK, Mejar Jeneral Datuk Hasan Ali.

Sementara itu, baginda turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan yang meluluskan peruntukan hampir RM180 juta untuk perolehan beberapa peralatan khas komando, payung terjun, rumah pertempuran jarak dekat (CQB) dan kolam renang tempur di Kem Iskandar.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!