Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Pesara TLDM perlu manfaatkan JHEV sebaik mungkin – Panglima Tentera Laut

Pesara TLDM perlu manfaatkan JHEV sebaik mungkin – Panglima Tentera Laut

by Bernama

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) digesa supaya memanfaatkan perkhidmatan Jabatan Hal-Ehwal Veteran (JHEV) sebaik-baiknya bagi menikmati kehidupan bersara yang selesa.

Panglima TLDM Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany berkata mereka perlu sentiasa berhubung dengan pihak JHEV kerana ia penting untuk para pesara mendapatkan informasi terkini mengenai dasar-dasar persaraan dan juga ganjaran yang boleh dinikmati oleh mereka.

“Saya percaya pihak JHEV telah memainkan peranan dengan baik untuk menyampaikan setiap maklumat berkaitan dengan insiatif ataupun ganjaran yang telah diumumkan oleh kerajaan.

“Oleh itu, saya nasihatkan mereka untuk sentiasa berhubung dengan JHEV sekiranya mereka boleh mendapatkan nasihat mengenai dasar terbaru berkaitan veteran ataupun menggunakan platform itu sebagai jalan penyelesaian masalah selepas bersara,” katanya pada sidang media selepas Majlis ‘Fair Winds dan Following Seas’ (FWFS) bagi Lembah Klang di sini, hari ini.

Mohd Reza juga berkata para pesara perlu aktif dalam menggunakan saluran media TLDM untuk mendapatkan maklumat tepat berkaitan dengan segala bentuk inisiatif yang ditawarkan buat veteran.

Majlis FWFS merupakan acara tahunan bagi meraikan para pesara TLDM yang komited menyumbang sepanjang perkhidmatan mereka dalam memelihara kesejahteraan dan kemakmuran perairan maritim negara, dan 190 anggota TLDM bahagian Lembah Klang telah bersara bagi tempoh antara Julai 2018 dan Jun 2019. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!