Mersing, 29 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing menahan sebuah bot termasuk empat nelayan dan seorang tekong warga Thailand di perairan Endau dekat Tanjung Kempit, Mersing, semalam.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Haris Fadzillah Bin Abdullah berkata mereka yang berumur 27 hingga 44 tahun ditahan pada jam lebih kurang 6.00 petang di kedudukan lebih kurang 6.3 Batu Nautika Utara Tanjung Kempit.
“Hasil siasatan mendapati bot berkenaan melanggar syarat sah lesen iaitu tidak diusahakan sendiri oleh empunya bot dan menggaji pekerja asing tanpa kebenaran.
“Bot dan semua kru kemudian diiringi ke Jeti Maritim Malaysia Pos Tanjung Gemok untuk disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985, “ katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Haris Fadzillah mengingatkan orang ramai supaya melaporkan sebarang kegiatan menyalahi undang-undang di pejabat Maritim Malaysia berhampiran.
“Kerjasama semua pihak termasuk persatuan nelayan, komuniti dan semua pengusaha bot penting untuk menjamin keselamatan perairan.
“Aduan boleh hubungi MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199404,” katanya.