SEOUL, 26 Jul – Korea Utara pada Khamis melancarkan dua peluru berpandu jarak dekat dari bandar pantai timur Wonsan ke Laut Timur, lapor agensi berita Yonhap memetik Ketua Turus Staf Korea Selatan (JCS).
Insiden itu berlaku di tengah kemelut semakin memuncak mengenai rundingan peringkat kerja antara Korea Utara dan Amerika Syarikat.
“(Utara) melancarkan peluru berpandu jarak dekat itu kira-kira 5.34 pagi dan pada 5.57 pagi dari Semenanjung Hodo berhampiran pantai timur Wonsan ke Laut Timur,” kata seorang pegawai JCS.
Pegawai JCS itu berkata kedua-dua peluru berpandu terbabit terbang pada ketinggian kira-kira 50 kilometer.
Peluru itu dilancarkan menggunakan pelancar erector transporter (TEL) dan mendarat di perairan Laut Timur.
“Kami percaya (pemimpin Korea Utara) Kim Jong Un baru-baru ini menetap di rantau itu, dan latihan tentera musim panas sedang berjalan di Korea Utara. Kami sedang memantau rapat keadaan itu,” katanya.
Menurut pegawai itu lagi, siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengesahkan sama ada ia adalah peluru berpandu balistik atau jenis yang sama dengan peluru berpandu jarak dekat dilancarkan dua kali pada Mei lalu – Bernama