KUALA LUMPUR, 22 Jul – Kementerian Pertahanan Malaysia hari ini mengesahkan insiden kehilangan dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang sedang bertugas di Pulau Perak.
“Kedua-dua anggota dilaporkan hilang adalah dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) yang sedang melaksanakan Operasi PEJARAK (Op Pejarak) di Pulau Perak,” jelas pihak Kementerian Pertahanan Malaysia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.
Menurutnya, Op PEJARAK merupakan operasi yang dilaksanakan di bawah kawalan Markas Pemerintahan Armada Barat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Operasi ini melibatkan penempatan anggota TDM di dua buah pulau di antara perairan Kedah dan Perak,” jelas kenyataan itu.
Terdahulu, Air Times News Network melaporkan berita kehilangan dua anggota TDM di Pulau Perak yang dipercayai berlaku pada petang Jumaat lalu. Kehilangan Koperal David Edmund Rapi dan Lans Koperal Moses Logers disedari pada lewat malam 19 Julai lalu ketika Ketua Penempatan membuat perbarisan pemeriksaan malam.
“Usaha mencari dan mengesan dua anggota tersebut telah dilaksanakan oleh anggota yang bertugas di pulau berkenaan bermula 19 Julai 2019,
“Pada pagi keesokannya, satu operasi mencari telah dilancarkam dengan kerjasama TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kawasan pulau serta perairan sekitar,” jelas pihak Kementerian Pertahanan yang turut berharap kedua-dua anggota terbabit dapat ditemui dengan secepat mungkin.