WASHINGTON, 22 Jul – Amerika Syarikat mendakwa Kemboja telah membenarkan China untuk menggunakan salah sebuah pangkalan tentera lautnya secara eksklusif melalui satu perjanjian sulit.
Laporan Wall Street Journal (WSJ) yang memetik kenyataan sumber kerajaan Amerika Syarikat berkata, perjanjuan tersebut akan membenarkan China untuk menggunakan fasiliti pangkalan di Kemboja selama 30 tahun dan perjanjian tersebut akan dibaharui setiap 10 tahun selepas tempoh berkenaan.
Selain daripada itu, fasiliti ini akan memberikan China akses yang lebih dekat kepada kawasan perairan Laut China Selatan. Menurut WSJ, penggunaan pangkalan ini sekaligus membolehkan China untuk menempatkan anggota tentera, menyimpan senjata serta melabuhkan kapal perangnya.
Dakwaan tersebut namun dinafikan oleh kerajaan Kemboja, menurut laporan agensi.
Jurucakap Kedutaan Amerika Syarikat di Phnom Penh, Emily Zeeberg, menyuarakan kebimbangan Washington akan tindakan Kemboja yang boleh menganggu gugat kestabilan serantau.
Washington sebelum ini turut mendesak Kemboja untuk tidak membenarkan China menggunakan lapangan terbang yang sedang dibina di Dara Sakor. Lapangan terbang Dara Sakor dibina oleh sebuah syarikat swasta China dengan pajakan selama 99 tahun.
WSJ mendakwa lapangan tersebut mempunyai landasan sepanjang 2 batu dan berupaya untuk menampung operasi kenderaan tentera China.