PULAU PINANG, 22 Jul – Satu latihan persediaan menghadapi ancaman kimia, biologi dan nuklear (Chemical, Biological, Radiological, Nuclear; CBRN) telah diadakan di Kem Sungai Ara, semalam.
Latihan Capability and Readiness Exercise (CaREx) Chemical, Biological, Radiological, Nuclear (CBRN) Siri 1/2019 yang berkonsepkan Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR) ini melibatkan seramai 18 pegawai dan 69 anggota Lain-lain Pangkat dari pasukan CBRN Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera (PKAT) serta 12 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (CBRNe).
Latihan ini diadakan mulai 18 Julai sehingga 23 Julai 2019.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Markas Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Dato’ Pahlawan Dr Md Amin Muslan berkata, latihan ini meningkatkan tahap keupayaan dan koordinasi dalam menangani ancaman CBRN.
Latihan yang dilaksanakan merupakan inisiatif PKAT dengan Tentera Darat bagi meningkatkan tahap kecekapan pegawai serta anggota dalam menghadapi situasi ancaman dan bencana CBRN.
Pada masa yang sama, latihan ini juga memberi pendedahan kepada 41 orang peserta agensi awam akan pengurusan dan pengendalian ancaman CBRN ATM. Kesemua perserta agensi awam terbabit akan menghadiri Asia Pacific Conference on Public Health anjuran bersama College of Public Health Medicine, Academy of Medicine of Malaysia dan BPK pada 22 Julai.
Senario latihan adalah menyentuh situasi bencana tsunami melanda kawasan perindustrian di Utara Semenanjung Malaysia. National Disaster Management Agency (NADMA) telah mengaktifkan pelan bencana dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diberi tanggungjawab untuk bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan pencemaran kimia terutama di kawasan perindustrian Bayan Lepas, Pulau Pinang.