Home Semasa APMM Kelantan tahan 25 nelayan Vietnam ceroboh perairan negara

APMM Kelantan tahan 25 nelayan Vietnam ceroboh perairan negara

by Bernama

PASIR PUTEH, 20 Jul – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan 25 nelayan Vietnam berserta dua bot milik mereka kerana menangkap ikan di perairan negara.

Pemangku Pengarah APMM Kelantan Komander Maritim Ismail Hamzah berkata mereka yang berumur antara 23 dan 43 tahun itu ditahan ketika menangkap ikan pada lokasi 87 dan 100 batu nautika dari pantai Tok Bali pada pukul 6.52 pagi dan 8.48 pagi pada Rabu lepas.

Beliau berkata kesemua suspek gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri ketika diperiksa oleh anggota APMM yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Kapal Maritim (KM) Jujur Lt Komander Maritim Mohd Fazrul Niza Mohd Mustapa.

“Bagaimanapun kita tidak dapat membawa pulang sebuah bot yang mengalami kerosakan pada sistem janakuasa yang menyebabkan enjin tidak dapat berfungsi selain mengalami kebocoran.

“Kesukaran itu ditambah pula dengan cuaca yang berada pada tahap amaran kategori pertama dengan ombak setinggi 3 hingga 5 meter dan tiupan angin pada kelajuan 50 meter sejam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ismail berkata pihaknya tiada pilihan lain selain terpaksa membiarkan bot berkenaan tenggelam atas faktor keselamatan.

Beliau berkata kesemua nelayan berkenaan bersama sebuah lagi bot dibawa pulang ke Jeti APMM Tok Bali untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!