Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Tentera Darat komited pertingkat kemahiran pertempuran dalam bandar

Tentera Darat komited pertingkat kemahiran pertempuran dalam bandar

by Nurulhuda

TAPAH, 16 Jul – Tentera Darat Malaysia (TDM) komited untuk meningkatkan keupayaan latihan anggotanya dalam melaksanakan Operasi Dalam Kawasan Terbina (OBUA), sejajar dengan perubahan landskap dan persekitaran operasi pada masa kini.

Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Azizan Md Delin berkata kewujudan kemudahan latihan OBUA di Batalion ke-4, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) ini juga dapat meningkatkan mutu latihan anggota TDM.

“Urban Combat Village di Kem Tapah ini merupakan perkampungan latihan yang dibina sebagai langkah persiapan TDM untuk memastikan anggota dan pasukan cukup terlatih bagi menghadapi apa-apa ancaman yang mungkin wujud dari semasa ke semasa,” kata Azizan selepas Majlis Perasmian OBUA Building di Batalion ke- 4 RAMD, Kem Tapah hari ini.

“TDM akan sentiasa bersiap sedia dan mampu untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan penuh efisien bagi menentukan keselamatan negara terus kita terjaga,

“Selain di Kem Tapah, latihan OBUA juga telah dilaksanakan di kompleks OBUA yang sedia ada seperti di Kem Terendak, Kem Asahan dan PULADA. Manakala untuk pasukan infantri, kem ini merupakan kem yang pertama dibina bagi mempersiapkan anggota lebih berkeupayaan untuk melaksanakan operasi tersebut,” jelasnya lagi.

Batalion ke-4 RAMD, Kem Tapah dipilih sebagai lokasi ‘Urban Combat Village’ kerana Batalion ini berpengalaman dalam pelbagai operasi dalam dan luar negara sejak 70 tahun penubuhanya termasuk Misi Congo dan Ops Daulat.

Azizan juga berharap perkampungan seperti ini dapat dikembangkan lagi di kem-kem infantri yang lain agar latihan OBUA dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Semasa ucapan, Azizan berkata ancaman keganasan dan medan peperangan alaf baharu pada masa kini serta hadapan lebih tertumpu di kawasan terbina sekali gus menjadikan satu keperluan bagi tentera darat membina kompleks mini OBUA.

“Pembangunan mini OBUA akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut zon iaitu di Kem Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah (Zon Utara); Kem Desa Pahlawan, Kelantan (Zon Timur 1); Kem Mentakab, Pahang (Zon Timur 2) dan di Kem Tapah bagi Zon Tengah.

“Bagi pasukan di zon selatan, latihan OBUA boleh dilaksanakan di Kem Terendak, Melaka; Kem Asahan, Negeri Sembilan serta di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Johor Bahru,” katanya.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!