Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Ujian Kemahiran Menembak Tentera Darat cabar keupayaan anggota kendali senjata

Ujian Kemahiran Menembak Tentera Darat cabar keupayaan anggota kendali senjata

by Nurulhuda

MELAKA, 15 Julai – Ujian Kemahiran Menembak Tentera Darat (UKMTD)  merupakan penanda aras untuk menilai kecekapan, penumpuan dan ketangkasan dalam pengendalian senjata, kata Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.

Hasbullah menegaskan agar setiap pemerintahan memastikan keperluan tersebut dipenuhi dengan menjadikan tahun 2019 yang merupakan tahun latihan serta penjajaran Tentera Darat sebagai pemangkin.

“Pertandingan ini bukan sekadar bertujuan mencungkil bakat baru, malah memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan meliputi pendekatan latihan, kecergasan serta keupayaan anggota,” kata Hasbullah semasa Majlis Penutup UKMTD di Dataran Lapang Sasar 400 meter, Kem Terendak, Melaka hari ini.

UKMTD 2019 melabuhkan tirainya setelah berlangsung semenjak 10 Julai lalu. Acara ini merupakan pertandingan menembak tahunan melibatkan 10 formasi Tentera Darat Malaysia (TDM) yang bertujuan untuk menilai kemampuan dan tahap kemahiran individu anggota tentera dalam aspek pengendalian senjata.

Selain itu, acara ini juga merupakan medan terbaik untuk TDM melahirkan jaguh-jaguh menembak yang bakal membawa cabaran ke peringkat yang lebih tinggi seperti pertandingan ASEAN Armies Rifle Meet (AARM).

Terdapat pelbagai ketegori dipertandingkan pada UKMTD kali ini seperti Menembak Lorong Hutan, Pistol, Raifal lelaki dan Wanita, Jatuh Piring, Tim Mesingan Kegunaan Am, Tim Mesingan Ringan, Serangan Seksyen dan Novelti Pegawai Kanan.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah; Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman serta Pegawai-pegawai Kanan TDM.

Johan keseluruhan UKMTD tahun 2019 telah dirangkul oleh pasukan 10 Briged PARA, manakala pasukan 21 Grup Gerak Khas (GGK) memenangi tempat kedua. Jaguh UKMTD 2019 pula disandang oleh Sjn Mohd Firuz bin Azizan dari Formasi 10 Briged Para.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!