Home Pertahanan dan Keselamatan Kerajaan timbang lanjut operasi Hospital Medan Malaysia sehingga 2021

Kerajaan timbang lanjut operasi Hospital Medan Malaysia sehingga 2021

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 15 Jul – Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu menyatakan kerajaan akan mempertimbangkan cadangan untuk melanjutkan pengoperasian Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazaar sehingga 2021.

“Kerajaan masih pertimbangkan akan kewajaran meneruskan pengoperasian Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazaar sehingga 2021 dengan mengambil kira kesan utama ke atas pelarian rohingya itu sendiri,” kata Mohamad ketika menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan Bangladesh menyambut baik sumbangan Malaysia melalui Hospital Medan bagi menguruskan isu pelarian Rohingya di Cox’s Bazaar.

“Bangladesh menyambut baik sumbangan Malaysia dan mencadangkan operasi hospital ini akan dilanjutkan sehingga 2021,

“Pertimbangan ini turut mengambil kira kesan utama terhadap pelarian,” jelas Menteri Pertahanan.

Beliau menambah, operasi Hospital Medan Malaysia di Bangladesh merupakan medan latihan yang terbaik untuk mempertingkatkan tahap kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menghadapi situasi bencana dan kesihatan.

“Sebanyak 74,103 kes telah dirawat oleh hospital ini sejak ianya mula beroperasi,” ujar Mohamad.

Hospital Medan Malaysia mula beroperasi di Cox’s Bazaar semenjak 20 November 2017 lalu dan dijangka akan tamat pada 31 Disember 2019.

Pengoperasian hospital medan di Bangladesh sebelum ini dikelolakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum diambil alih oleh ATM pada awal tahun 2018 dengan penghantaran kumpulan pertama Ops Starlight. Kali terakhir ATM menghantar kumpulan petugas ke hospital medan tersebut adalah pada 28 Februari lalu.

Pengoperasian hospital telah mendapat pengiktirafan dari pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Kesihatan Dunia (World Health Organization, WHO), Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) serta Pesuruhjaya Suruhanjaya Bantuan dan Penghantaran Balik Pelarian (Refugee Relief & Repatriation Commissioner, RRRC).

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!