Home Semasa Zon Merah masih dikekalkan di Kuala Koh: Ketua Polis Kelantan

Zon Merah masih dikekalkan di Kuala Koh: Ketua Polis Kelantan

by Bernama

KOTA BHARU, 4 Jul – Kawasan penempatan Orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang masih lagi diisytiharkan sebagai Zon Merah dan menasihatkan kepada orang ramai supaya jangan sesekali menceroboh masuk sehinggalah larangan itu ditarik balik.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, buat masa sekarang seramai 30 anggota daripada Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) masih ditempatkan di situ untuk melaksanakan tugas.

Beliau berkata sehingga kini Kementerian Kesihatan masih belum memutuskan sama ada untuk menamatkan atau tidak larangan berkenaan.

“Kita (polis) hanya menunggu arahan daripada pihak yang mempunyai kepakaran dan pihak polis hanya menjalankan arahan sepertimana yang terkandung dalam Peraturan 20 Majlis Keselamatan Negara.

“Bagi orang ramai yang mengggunakan laluan di situ diharap supaya bersabar kerana jika dinilai di sudut kesihatan, peraturan ini masih diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di sini, hari ini.

Sementara itu, Hasanuddin berkata keadaan seorang anggota PGA8 yang sebelum ini disahkan diserang penyakit cacar air kini beransur pulih.

Namun, katanya anggota berkenaan masih lagi dirawat di Hospital Gua Musang dan sekiranya menunjukkan perkembangan positif mungkin dijangka keluar tidak lama lagi.

Dalam perkembangan lain, Hasanuddin berkata indeks jenayah di Kelantan menunjukkan penurunan sebanyak 18 peratus bermula Januari hingga Jun tahun ini.

Katanya dalam tempoh sama pada 2018 terdapat 2,098 kes jenayah direkodkan berbanding 1,720 sehingga Jun tahun ini dan menunjukkan penurunan sebanyak 378 kes atau 18 peratus.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama rapat antara masyarakat dan polis. Kita juga sentiasa mempertingkatkan operasi dalam pencegahan dadah kerana yakin kebanyakan kes jenayah yang berlaku sekarang mempunyai kaitan dengan penyalahgunaan dadah ” katanya – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!