Anda mungkin tertanya, kenapa seorang dari sektor pertahanan dijemput berucap di hadapan ahli-ahli Pertubuhan Akitek Malaysia. Mungkinkah sebab Ahli-ahli Parlimen yang lain semuanya pulang ke kawasan masing-masing, dan kebetulan saya ada kerana saya tiada kawasan untuk pulang berkhidmat? Boleh jadi.
Namun saya rasa pihak penganjur mengetahui bahawa saya secara peribadi sangat berminat dengan isu-isu berkaitan bandar dan persekitaran terbina. Malah sebenarnya saya sedang berbual bersama Azmar Ahmad dan teman lama saya Tan Loke Mun apabila undangan yang tidak diduga ini disampaikan. Saya bertemu mereka untuk mendapatkan sokongan PAM bagi beberapa pertandingan melibatkan ruang awam dan bangunan, yang saya mahu jalankan di beberapa bandar di Johor.
Saya berpendapat bahawa para arkitek harus seboleh mungkin dilibatkan dalam proses mereka dan konseptualisasi ruang awam dan binaan awam, dan sebab itulah saya sedang berusaha menjalankan beberapa pertandingan demi mendapatkan idea untuk ruang dan binaan awam.
Melibatkan para arkitek yang bangga dengan ruang serta binaan awam yang direka, dibayangkan dan dibina oleh mereka sendiri adalah satu cara yang bagus untuk memperbaiki ruang dan binaan awam. Demi mencapai dan mengekalkan hubungan ini, sektor awam, terutamanya pihak berkuasa setempat serta Jabatan Kerja Raya, harus bersedia untuk melibatkan para arkitek seboleh mungkin apabila membangun ruang dan binaan awam.
Masyarakat kita perlu menghargai profesionalisme dan daya-kreatif para arkitek. Cara bagaimana ruang dan binaan awam dibentuk dan dicipta tidak seharusnya dibiarkan sahaja kepada pemimpin politik, pengkhidmat awam, pemaju swasta atau mana-mana pihak berkepentingan lain.
Malah arkitek sebenarnya berada dalam kedudukan yang baik untuk bercakap bagi pihak masyarakat setempat, serta semangat zaman mereka. Dalam banyak sudut, selain daripada baris kata pada buku-buku, ketamadunan terbina dalam bentuk bandar dan bangunan.
Malaysia kini berada dalam suatu era baharu. Perubahan itu terjadi pada Mei 2018. Sepanjang dua dekad lampau, sudah ramai yang mencuba untuk menghentikan barah yang membusuk dan menyelamatkan Malaysia daripada kehancuran. Hayat politik saya sendiri, sebagai seorang anak Kuala Lumpur yang bertanding di Pulau Pinang pada 2008, merantau ke Johor pada 2013 dan bertanding di kerusi paling rumit di Ayer Hitam untuk menggembleng sokongan akar rumput; semuanya itu adalah demi untuk Selamatkan Malaysia.
Namun sejak Mei 2018, kerjanya kini adalah untuk membina Malaysia Baharu. Secara tuntas, para arkitek di negara ini mempunyai peranan yang amat besar dari segi itu; dengan membangun bandar-bandar serta binaan demi masa depan kita bersama. Seperti yang sering saya sebut, kita harus mengambil sikap bahawa usaha membina-semula Malaysia adalah projek dua puluh tahun. Apa yang kita lakukan sekarang, keputusan yang kita ambil sekarang, harus dilaksanakan dalam rangka minda 20 tahun.
Peranan arkitek dalam hal ini sangat penting.
Kita memerlukan sebuah visi baharu untuk urbaniti negara. Kebanyakan rakyat Malaysia kini tinggal di bandar-bandar – 76 peratus setakat ini, dan menjelang tahun 2050, 90 peratus daripada kita akan tinggal dalam kondisi-kondisi urban.
Bandar-bandar kita kini tidak cekap-tenaga, dan dalam hal itu, kita mungkin dapat menyusunnya dengan lebih baik. Kita juga menerima kesan buruk akibat pemintasan bandar (urban sprawl). Ia menjejaskan sumber melalui proses perpaipan, pemasangan kabel grid elektrik, infrastruktur komunikasi, jalanraya dan sebagainya. Senarainya panjang.
Berahi masyarakat terhadap hartanah ‘landed’ suburban, perasaan bahawa semua orang perlu memiliki rumah, dan obesesi terhadap kenderaan persendirian yang dipandu berseorangan sangat-sangat membebankan alam sekitar dan membawa kepada guna sumber secara tidak cekap.
Bukan senang untuk mengubah idea yang telah berakar dalam minda masyarakat sejak dekad 60’an. Sebelum itu, ramai yang menetap di kampung-kampung, manakala yang tinggal di bandar hidup di rumah kedai yang sempit, dikongsi beberapa keluarga. Di atas rumah, di bawahnya kedai. Jejak karbon, sifar.
Kita juga harus barangkali memeriksa idea semasa tentang pelingkungan (zoning). Kita membahagiakan aktiviti manusia kepada sektor-sektor pertanian, perdagangan, perindustrian dan perumahan. Namun dalam banyak segi, ini mempertingkatkan jejak karbon, dan tidak menguranginya. Kita wajar memikirkan semula ruang awam secara menyeluruh; jika kita harus tinggal, bekerja dan beriadah di dalamnya dengan rasa yakin dan selesa.
Saya tidak kata kita perlu memutarkan kembali waktu. Namun sudah tiba masanya untuk berfikir tentang bagaimana untuk menggalakkan lebih ramai orang untuk tinggal hampir ke pusat-pusat bandar supaya mereka lebih hampir kepada peluang pekerjaan dan tidak perlu mengharungi kesesakan lalulintas berjam-berjam demi berulang-alik ke tempat kerja.
Kita harus mempertimbangkan semula idea kononnya semua orang mesti memiliki rumah. Selalunya untuk memiliki hartanah di pusat bandar adalah di luar kemampuan rakyat biasa, manakala mereka yang mampu memiliki selalunya tidak tinggal pun di rumah itu. Mereka malah selalunya tidak berminat pun menyewakannya. Pasaran sewaan kita tidak dilindungi dan dikawal untuk menjadikan langkah menyewakan sebagai satu pilihan yang menarik. Selalunya, unit-unit ini dibeli untuk tujuan pelaburan, atau lebih tepat lagi, untuk tujuan spekulatif.
Masyarakat secara keseluruhannya, akan kerugian dalam hal mengewangkan perumahan. Mereka yang bekerja di tengah bandar terpaksa membuang masa berjam-jam lamanya berulang-alik ke tempat kerja dari perumahan suburban melalui kesesakan jalanraya.
Oleh itu kita harus berfikir untuk membangun perumahan awam dan swasta yang baik di kawasan pusat-pusat bandar untuk disewakan kepada orang muda. Secara serius saya katakan, bukan semua orang perlu memiliki rumah. Tetapi semua orang memerlukan tempat berteduh.
Suatu lagi obsesi yang harus ditinggalkan ialah keyakinan bahawa kononnya pemilikan kereta adalah ukuran kemajuan nasional, dan kejayaan peribadi. Penggunaan kereta panduan perseorangan sebenarnya membebankan negara. Saya sering (separuh) bergurau bahawa adalah lebih baik membayar orang ramai untuk menaiki bas daripada memberi subsidi kepada penggunaan petrol mereka. Dari sudut itu, cara kita mengatur dasar adalah penting. Tanpa menyediakan pengangkutan awam yang baik, menarik-balik subsidi petrol hanya akan menghukum golongan M40 marjinal yang akhirnya akan terpaksa memilih untuk menunggang motosikal, dan seterusnya meningkatkan bilangan kemalangan jalanraya.
Anehnya, rakyat Malaysia kini memikirkan tren, apabila mereka memikirkan tentang pengangkutan awam. Malang sekali, wujud prejudis hari ini bahawa bas adalah untuk kegunaan orang miskin dan pekerja asing. Hakikatnya, adalah lebih jimat untuk menguruskan bas berbanding tren, dan bas mampu mengangkut lebih ramai penumpang serta fleksibel dari segi destinasi.
Apa yang bijak untuk dilakukan ialah mencampurkan mod pengangkutan massa. Tren, bas, bas transit dan sebagainya boleh saling melengkapi satu sama lain dengan mudah. Kita harus menghindar daripada pemikiran bahawa memandu kereta adalah suatu keperluan. Sebagai sebuah masyarakat, kita patut mencipta suatu situasi di mana pengangkutan awam ‘multimodal’ berasaskan bas akhirnya menjadikan pemanduan kereta suatu kemewahan dan bukan keperluan. Sebuah negara yang maju adalah negara di mana mereka yang kaya dan berada di kelas pertengahan menggunakan pengangkutan awam.
Izinkan saya menghubungkan apa yang telah saya ucapkan dengan soal pertahanan, portfolio saya. Bandar-bandar yang disusun atur dengan elok adalah bandar-bandar yang berdaya tahan. Bandar yang mesra-iklim lebih mampu mendepani bencana alam dengan lebih daya tahan. Bandar yang mengatur dirinya dengan lebih baik dan menawarkan pengangkutan yang cekap dan boleh diharap serta mobiliti juga mampu untuk bertindak terhadap kecemasan seperti serangan pengganas dengan lebih baik.
Malaysia telah menikmati aman damai sejak Perjanjian Hatyai ditandatangani pada tahun 1989. Ramai masih berfikir bahawa jika berlaku sebarang pertempuran, ia hanya akan berlaku di dalam hutan. Namun seperti yang telah kita saksikan dalam tragedi Marawi di Filipina, konflik bersenjata harini berkemungkinan tinggi berlaku di kawasan urban. Kita harus bersedia untuk menangani pertempuran secara tidak konvensional pada masa akan datang.
Justeru itu, marilah kita menyusun bandar-bandar kita, supaya Malaysia mampu berdaya tahan dari segenap segi.
*Ucapan oleh Liew Chin Tong di Majlis Makan Malam Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) pada 29 June 2019, di Petaling Jaya. Penulis adalah Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia.