KUANTAN, 2 Jul – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan melaksanakan latihan ketenteraan terbesar pasukan itu di Laut China Selatan pada bulan ini.
Majlis Pembukaan Eksesais Kerismas 26/2019 telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany di Auditorium Al-Haimi, Markas Wilayah Laut 1, Kuantan, hari ini.
Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Khairul Anuar Yahya; Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob dan Panglima Amrada Barat, Laksamana Madya Datuk Aris Adi Tan Abdullah.
Selain Eksesais Kerismas, TLDM akan turut melaksanakan Eksesais Taming Sari. Eks Taming Sari merupakan sebahagian daripada fasa Eks Kerismas.
Eksesais ini juga turut menyaksikan penembakan peluru berpandu anti kapal, Exocet MM40 Block II dan peluru berpandu udara-ke-permukaan, Sea Skua.
Kali terakhir TLDM melaksanakan Eks Kerismas adalah pada tahun 2005 manakala Eks Taming Sari pada tahun 2014.
“Objektif utama latihan adalah untuk meningkatkan dan menilai tahap kesiagaan armada TLDM di peringkat operasi dan taktikal,” jelas pihak TLDM dalam satu kenyataan pada hari ini.
Selain daripada itu, pelbagai evolusi dan siri latihan di laut telah dirancang sepanjang eksesais dijalankan.
Eksesais ini akan melibatkan 11 buah kapal dan 3,000 anggota TLDM.