SUNGAI BULOH, 30 Jun – Pengerusi Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera), Mejar Jeneral (B) Datuk Zulkiflee Mazlan menyatakan pihaknya sedang giat meneroka pasaran baharu bagi menjamin pulangan yang baik kepada ahli.
Beliau menyatakan perkara tersebut semasa Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Tentera ke-54 di Dewan Besar PERHEBAT, Kem Sungai Buloh, hari ini. Mesyuarat tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu.
Menurut beliau, pihak Koperasi Tentera menghadapi cabaran untuk menjana keuntungan setiap tahun lebih-lebih lagi melibatkan persaingan dari institusi perbankan.
“Cabaran ini menjadi lebih getir kerana Koperasi Tentera terpaksa menghadapi beberapa cabaran besar seperti bersaing dengan institusi perbankan yang telah menembusi pasaran dan menerima layanan istimewa terutamanya dalam aktiviti pembiayaan dan polisi pemotongan gaji yang lebih ketat oleh pihak kerajaan,” kata Zulkiflee dalam ucapannya.
Menurut beliau, antara kesan yang dapat dilihat adalah peningkatan pembiayaan rosot nilai yang kian meningkat setiap tahun. Pembiayaan rosot nilai pada tahun 2018 adalah sebanyak RM 84.1 juta yang merupakan peningkatan sebanyak 24% dari tahun 2017 iaitu RM 67.6 juta.
“Ini akan menjejaskan prestasi kewangan kt pada jangka masa panjang,” ujarnya.
Rosotan nilai adalah satu kehilangan dalam manfaat ekonomi masa hadapan atau potensi perkhidmatan aset, ke atas pengiktirafan secara sistematik yang menyebabkan kehilangan nilai faedah ekonomi aset dimasa depan atau potensi perkhidmatan melalui susutnilai.
Beliau menambah, Koperasi Tentera sedang merangka pelan tindakan untuk menangani masalah ini secara serius dalam memastikan kelestarian perniagaan.
“Koperasi Tentera kini giat menjalankan pemasaran bagi produk pembiayaan ke sektor-sektor koperasi dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),
“Pengembangan pasaran ke sektor yang pertama kali diterokai ini memerlukan infrastruktur, kepakaran yang khusus dan masa pembelajaran untuk menangani produk dan pelanggan yang baharu dan berbeza,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Koperasi Tentera telah membuat penambahbaikkan sistem perbankan teras yang merupakan tulang belakang dalam penilaian, pemprosesan dan pemantauan pelanggan-pelanggan perniagaan kecil dan sederhana.
“Koperasi turut meningkatkan kemahiran modal insan dalam aspek memperkasa skil kakitangan sedia ada serta mendapatkan kemahiran dalam bidang perbankan dari luar,
Beberapa inisiatif baharu seperti sistem perkhidmatan atas talian & aplikasi perbankan mudah alih atau perbankan internet diperkenalkan,” katanya.