Home Pertahanan dan Keselamatan Dividen 10% bukti Koperasi Tentera mampu berhadapan dengan cabaran ekonomi semasa – Menteri

Dividen 10% bukti Koperasi Tentera mampu berhadapan dengan cabaran ekonomi semasa – Menteri

by M.Daim

SUNGAI BULOH, 30 Jun – Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera) telah mengumumkan pulangan dividen sebanyak 10 peratus dengan pembayaran sebanyak RM 145 juta bagi tahun kewangan 2018.

Dividen tersebut telah diumumkan oleh Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad bin Sabu semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Tentera ke-54 di Dewan Besar PERHEBAT, Kem Sungai Buloh, hari ini.

“Pada pagi ini sukacitanya saya ingin mengumumkan bahawa Lembaga Koperasi telah bersetuju untuk mengisytiharkan pemberian dividen pada kadar 10% bersamaan RM145 juta untuk tahun kewangan 2018,

“Manakala bagi simpanan anggota, jumlah keuntungan yang dibayar ke atas simpanan anggota dalam tahun 2018 adalah RM13.6 juta,” kata Menteri Pertahanan dalam ucapan perasmiannya.

Pembayaran dividen tersebut adalah berdasarkan keuntungan sebelum cukai dan zakat Koperasi Tentera sebanyak RM184.3 juta serta hasil daripada pendapatan bersih operasi bagi tahun kewangan 2018 berjumlah RM313.5 juta.

“Pada hemat saya dengan pemberian dividen 10% ini ia jelas membuktikan Koperasi Tentera masih mampu memberikan pulangan yang tinggi secara konsisten kepada anggotanya walaupun sedang berhadapan dengan keadaan ekonomi negara yang tidak memberangsangkan,” ujarnya.

Turut hadir Pengerusi Koperasi Tentera, Mejar Jeneral (B) Datuk Zulkiflee Mazlan dan Panglima Tentera Udara, Tan Sri Affendi Buang.

Koperasi Tentera ditubuhkan pada 12 November 1960 dengan matlamat untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi dan kebajikan anggota ATM. Koperasi ini turut mencatatkan pegangan aset terkumpul sebanyak RM3.017 bilion, sejak ia mula ditubuhkan.

Selain daripada itu, Koperasi Tentera turut menyediakan pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan seperti pembiayaan, insurans/takaful dan Ar-Rahnu. Koperasi Tentera juga terlibat dengan aktiviti pelaburan secara terhad dan pelaburan utamanya ialah 30% pegangan saham dalam Great Eastern Takaful Malaysia Berhad dan Public Mutual Fund Berhad.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!