Home Semasa Masih ramai generasi muda tidak fahami lima Prinsip Rukun Negara

Masih ramai generasi muda tidak fahami lima Prinsip Rukun Negara

by Bernama

KOTA BHARU, 27 Jun – Jabatan Penerangan Kelantan kesal kerana masih ramai dalam kalangan generasi muda hari ini kurang memahami lima Prinsip Rukun Negara.

Pengarahnya, Lim Ann Teck berkata atas sebab itu, pihaknya sentiasa mengadakan pelbagai program bagi usaha melahirkan belia yang mempunyai semangat patriotisme dan cintakan negara terutama bagi pelajar.

“Pertandingan Sketsa Rukun Negara adalah satu daripada aktiviti komunikasi bersemuka anjuran Jabatan Penerangan Malaysia berkonsepkan seni lakonan dan penceritaan.

“Usaha ini adalah kaedah pemujukan bagi menggabungkan kesemua kaedah komunikasi bermatlamat membentuk minda masyarakat terutama pelajar,” katanya di dalam teks yang dibacakan Penolong Pengarah Cawangan Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat jabatan itu, Zaid Ahmad pada Pertandingan Sketsa Rukun Negara Peringkat Negeri Kelantan 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Melor di sini, semalam.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Abdullah Mat, Penyelaras Pakatan Harapan Parlimen Ketereh, Abdul Aziz Kadir dan Pengetua SMKA Melor, Saipul Bahri Abdul Manaf.

Pada pertandingan itu, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Cina Chung Hwa di sini menjadi johan, naib johan SMK Kampung Laut, Tumpat dan SMK Bukit Jawa, Pasir Puteh.

Zaid ketika ditemui selepas itu berkata, di Kelantan, 80 sekolah menyertai pertandingan Sketsa Rukun Negara sejak penubuhan pada 2012 hingga kini.

“Pertandingan Sketsa Rukun Negara ini melibatkan pelajar (sekolah menengah) yang menjadi ahli Kelab Malaysiaku dan ini adalah program bersepadu perkongsian pintar antara Jabatan Penerangan Malaysia dengan Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Apa yang menarik lagi, inilah kali pertama sekolah di negeri ini dapat bertanding hingga ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada 26 hingga 28 Julai ini di Ipoh, Perak,” katanya.

Kata beliau, dua juri yang menilai bagi pertandingan itu mempunyai kelayakan khas dalam industri lakonan dan penceritaan iaitu Zack Zaideen dan Mohd Ghulam Jamaludin.

Katanya, pada tahun ini, sembilan penyertaan diterima mewakili setiap daerah kecuali Bachok dan pihaknya berharap sekolah terpilih dapat bersiap sedia dengan mengaitkan tema lima Prinsip Rukun Negara yang lebih relevan, sekaligus dapat menaikkan nama negeri dan sekolah – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!