PORT DICKSON, 22 Jun – Hujan lebat pada awal pagi di Pusat Latihan Asas Tentera Darat tidak menghalang semangat seramai 1,727 anak muda untuk menjayakan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 188/18.
Majlis perbarisan ini disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.
Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Hasagaya Abdullah dan pegawai kanan Tentera Darat.
Sebanyak lima anugerah khas telah disampaikan oleh Panglima Tentera Darat pada majlis itu iaitu Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik kepada Muhamad Shahriman Ab Razak, 19; Muhammad Fahimi Mohammad Nadzir, 20 (Akademik Terbaik), Iskandar Zulkarnain Abdul Mohd Manan, 20; (Kecergasan Jasmani Terbaik); Sakirin Khairani, 23 (Kawad Terbaik); dan Ahmad Yunis Sulaiman, 22 (Penembak Terbaik).
Majlis tamat latihan turut dimeriahkan dengan kehadiran lebih 4,000 ahli keluarga Perajurit Muda datang dari seluruh negara bagi menyaksikan acara bersejarah bagi mereka.
Kesemua Perajurit Muda ini menjalani latihan asas meliputi pengetahuan serta pelbagai kemahiran ketenteraan selama enam bulan sejak 23 November tahun lalu. Latihan-latihan yang dijalankan adalah terdiri daripada beberapa komponen utama seperti pembentukan karakter, pengetahuan am ketenteraan, latihan jasmani, pengendalian senjata, kemahiran tempur serta pengukuhan aspek kerohanian.
Latihan yang dijalankan ini juga bertujuan untuk membentuk keperibadian sebagai anggota tentera yang mempunyai kekuatan fizikal dan mental.
Kesemua Perajurit Muda yang tamat latihan pada hari ini akan diserap kedalam pelbagai kor dalam Tentera Darat. Selain daripada itu, mereka akan diberikan latihan bersesuaian dengan pengkhususan dan penugasan mengikut kor masing-masing.
Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Tentera Darat turut diadakan di Padang Kawad PUSASDA sebaik sahaja Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki selesai. Dalam majlis tersebut, seramai 14 orang Pegawai Kanan Tentera Darat diraikan.