Home Semasa SPRM fail perlucuthakan sivil untuk peroleh semula dana 1MDB RM270 juta

SPRM fail perlucuthakan sivil untuk peroleh semula dana 1MDB RM270 juta

by Bernama

PUTRAJAYA, 21 Jun – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan permohonan perlucuthakan sivil terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) di mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

SPRM memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dua hari lepas (19 Jun), katanya pada sidang akhbar di sini hari ini, iaitu sidang akhbar pertama sejak beliau menjawat jawatan tertinggi itu.

Kesemua 41 individu dan entiti terbabit termasuk parti politik, yayasan dan syarikat, termasuk bahagian UMNO, Parti Rakyat Bersatu Sabah, MCA serta Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).

“Mereka (responden) kesemuanya rakyat tempatan,” katanya, dan menambah, Najib bukanlah seorang daripada responden itu.

Menurut Latheefa, UMNO adalah penerima terbesar iaitu berjumlah RM212 juta.

Menurutnya juga, permohonan perlucutan hak itu adalah yang terbesar dalam sejarah Malaysia di bawah AMLA.

Beliau berkata responden tidak harus ‘terkejut’ dengan wang yang disalurkan ke dalam akaun mereka, sebaliknya mengambil tanggungjawab untuk menyiasat dari mana punca wang itu.

Katanya sejak siasatan kes 1MDB dijalankan, pihaknya telah mengambil langkah untuk mendapatkan semula wang dan berjaya memperoleh semula wang sebanyak RM919 juta yang diserah secara sukarela, termasuk wang serta aset dari luar negara.

“Penyerahan sukarela ini adalah bagi mengelak sebarang pertuduhan atau mengurangkan tindakan dikenakan ke atas mereka yang terlibat,” katanya. -Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!