Home Pertahanan dan Keselamatan Curi peralatan kapal dagang, Maritim Malaysia tahan warga Indonesia di perairan negara

Curi peralatan kapal dagang, Maritim Malaysia tahan warga Indonesia di perairan negara

by Bernama

KOTA TINGGI, 17 Jun – Aktiviti mencuri peralatan di sebuah kapal dagang oleh warga asing dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) ketika sedang membuat rondaan di sekitar perairan Teluk Ramunia, dekat Pengerang, awal pagi semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Johor Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata pada pukul 3 pagi Ahad, anggotanya dari Zon Maritim Tanjung Sedili telah melakukan rondaan dan mendapati dua buah bot kayu tertambat pada sebuah kapal dagang yang sedang bersauh di 2.9 batu nautika Selatan, Teluk Ramunia.

“Mensyaki sesuatu yang buruk, kami terus membuat pemeriksaan pada kapal terbabit dan mendapati empat lelaki warga Indonesia berasal dari Batam, sedang dalam percubaan memunggah barang-barang keperluan termasuk besi-besi buruk ke bot mereka,” katanya pada sidang media di pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili, dekat sini hari ini.

Beliau berkata pada awalnya, kesemua suspek berusia 27 hingga 29 tahun itu ditahan, bagaimanapun ketika kerja membaik pulih salah satu bot peronda yang mengalami kerosakan semasa menunda kedua-dua bot kayu itu dan membawa suspek ke Pengkalan Maritim di Tanjung Pengelih, dua daripada empat suspek melarikan diri dengan terjun ke laut.

Namun, atas kerjasama yang erat dan kecekapan pihak berkuasa maritim Indonesia, kedua-dua suspek yang meloloskan diri itu dapat ditahan semula pada jam 6 petang semalam (waktu Malaysia) di Batam, Indonesia.

“Sementara itu, dua suspek yang ditangkap kini ditahan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Tinggi sementara dua lagi yang telah ditahan di Batam itu, akan dihantar ke sini oleh pihak berkuasa Indonesia pada petang ini bagi proses pendakwaan,” kata Sanifah.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 380 dan Seksyen 445 Kanun Keseksaan iaitu mencuri serta pecah masuk.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara tidak lebih sepuluh tahun, denda dan sebatan.

Sanipah turut menasihati pengusaha kapal supaya meningkatkan langkah keselamatan serta berhati-hati dan segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya dihampiri bot yang mencurigakan. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!