ANKARA, 13 Jun – Presiden Turki, Tayyip Erdogan mengesahkan pembelian peluru berpandu pertahanan udara S-400 dari Rusia, semalam.
Menurut Erdogan, Turki dijangka akan menerima persenjataan tersebut pada bulan hadapan.
Menurut laporan Reuters, pengumuman oleh Presiden Turki dijangka akan meningkatkan ketegangan antara Ankara dan Washington.
Pada minggu lalu, pemangku Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Patrick Shanahan mengancam Turki akan disingkirkan dari program pesawat pejuang stealth F-35 sekiranya negara itu meneruskan pembelian sistem pertahanan udara tersebut.
Menurut Amerika Syarikat, perolehan S-400 akan mengancam F-35 dan berkemungkinan akan mengenakan sekatan terhadap Turki.
Namun begitu, Erdogan turut menyatakan Turki pernah bercadang kepada Washington untuk menubuhkan jawatankuasa bersama untuk menilai impak perolehan S-400. Namun, Amerika Syarikat tidak menyahut cadangan Turki.
Pada masa yang sama, Erdogan tidak menolak bahawa beliau akan terus berhubung dengan pihak Amerika Syarikat mengenai isu tersebut sebelum bertemu dengan Donald Trump di Jepun pada hujung Jun nanti.
S-400 Triumf merupakan sistem peluru berpandu pertahanan udara yang dibangunkan oleh Rusia pada tahun 1990-an. Sistem ini mampu untuk menyerang sasaran pada jarak 40 kilometer ke 400 kilometer. Selain daripada itu, S-400 berupaya untuk memintas peluru berpandu kruis.