JAKARTA, 13 Jun – Malaysia, Indonesia dan Filipina akan mengadakan latihan ketenteraan bersama di bandar Tarakan, Kalimantan.
“Latihan bersama secara trilateral di laut telah berjaya mengekang ancaman lanun dan pengganas,” kata Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard, semalam.
Menurut laporan media Indonesia, Latihan Indomalphi 2019 dijangka akan berjalan selama sebulan dengan melibatkan pasukan tentera darat dari ketiga-tiga buah negara. Latihan ini akan memberikan fokus utama terhadap latihan anti-pengganas.
Malaysia, Indonesia dan Filipina telah melaksanakan kerjasama secara trilateral semenjak tahun 2017. Kerjasama antara ketiga-tiga negara mula diperkenalkan pada tahun 2016 ketika Mesyuarat Menteri Pertahanan Asean (ASEAN Defense Minister Meeting, ADMM) berlangsung di Laos.
Melalui kerjasama tersebut, pasukan tentera dari ketiga-tiga negara telah menjalinkan rondaan bersama di perairan berisiko ancaman lanu dan pengganas di perairan Laut Sulu. Selain rondaan bersama, tiga pusat kawalan maritim telah diwujudkan di Tawau (Sabah, Malaysia), Tarakan (Kalimantan, Indonesia) dan Bongao (Filipina).