KUALA LUMPUR, 13 Jun – Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy) dan Pasukan Pertahanan Diri Maritim Jepun (Japan Maritime Self-Defense Force, JMSDF) telah melaksanakan pelayaran bersama di Laut China Selatan pada 10 sehingga 12 Jun.
Pelayaran bersama tersebut melibatkan kapal induk US Navy, USS Ronald Reagan dan kapal pengangkut helikopter JMSDF, JS Izumo. Pelayaran ini juga melibatkan dua kapal pembinasa JMSDF, JS Murasame dan JS Akebono.
Menurut kenyataan rasmi dari Armada Ke-7 US Navy (7th Fleet), kesemua kapal terbabit telah melaksanakan pemeriksaan komunikasi, latihan pelayaran dan program pertukaran pegawai. Tujuan utama pelayaran ini adalah berkongsi pendapat mengenai keselamatan maritim serta mempertingkatkan daya saling operasi di lautan.
Pihak 7th Fleet turut menjelaskan, US Navy dan JMSDF kerap melaksanakan latihan bersama dengan negara-negara lain bagi mempromosikan keselamatan dan kestabilan serantau.