LAHAD DATU, 13 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Lahad Datu berjaya menahan sebuah bot membawa lapan penumpang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina tanpa dokumen pengenalan diri yang sah di perairan Telukan Lahad Datu, semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu Komander Maritim, Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata kesemua mereka ditahan pada 6.50 petang di kedudukan lebih kurang 1.5 batu nautika timur berhampiran Kampung Desa Bajau, Lahad Datu.
“Ketika pihaknya sedang melakukan Op Pluto Timur 2/2013 di perairan Telukan Lahad Datu, sebuah pam bot yang dalam keadaan mencurigakan telah ditahan dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang tekong dan tujuh orang penumpang kesemuanya warga Filipina.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati juragan bot berumur 65 tahun membawa seorang penumpang wanita berusia17 tahun serta enam lelaki dalam berumur lingkungan 28 hingga 55 tahun, masing-masing gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Muhaimin berkata bot dan semua PATI yang ditahan akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
“Jika didapati bersalah suspek boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” ujar beliau.