Home SemasaGlobal AS, Turki akan bincang pertikaian berhubung isu pembelian S-400 Rusia

AS, Turki akan bincang pertikaian berhubung isu pembelian S-400 Rusia

by Bernama

WASHINGTON, 12 Jun – Pemangku Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Patrick Shanahan pada Selasa berkata beliau akan membincangkan pertikaian Washington dengan Ankara berkaitan pembelian sistem pertahanan peluru berpandu S-400 Rusia oleh Turki dengan rakan sejawatnya dari negara itu, Hulusi Akar, lapor agensi berita Anadolu.

Ditanya sama ada beliau menerima sebarang respons daripada Akar, Shanahan berkata kedua-dua pihak boleh mengemas kini perkembangan berhubung isu itu semasa perbualan telefon pada Rabu.

“Saya berharap esok kami akan dapat bertukar-tukar pandangan dan mendapatkan maklumat terkini mengenai kemajuan yang telah dicapai setakat ini,” katanya kepada pemberita.

Beliau membuat kenyataan itu menjelang pertemuannya dengan Menteri Pertahanan Poland Mariusz Blaszczak di Pentagon.

Shanahan berkata minggu lepas dalam sepucuk surat kepada Akar bahawa program latihan jet pejuang F-35 untuk juruterbang Turki akan berakhir pada 31 Julai, yang memberikan mereka masa yang mencukupi untuk melengkapkan latihan mereka. Bagaimanapun, tindakan yang diambil Turki akan menyebabkan tempoh itu disingkatkan.

“Kami telah menangguhkan beberapa aktiviti dari segi latihan. Kami belum lagi menangguhakn sebarang aktiviti penyelenggaraan,” katanya.

Bagaimanapun, Pentagon pada Selasa berkata Tentera Udara AS telah menghentikan latihan juruterbang Turki bagi mengendali F-35 yang sedang berlangsung sebelum tarikh yang ditetapkan atas alasan “keselamatan.”

Langkah itu adalah yang terkini dalam beberapa siri tindakan oleh AS untuk mengeluarkan Turki daripada program F-35 susulan kebuntuan dengan sekutu NATOnya itu berhubung pembelian sistem pertahanan S-400 Rusia.

Berikutan usaha berpanjangan untuk membeli sistem pertahanan udara dari AS menemui kegagalan, Ankara memutuskan pada 2017 untuk membeli sistem pertahanan dari Rusia.

Para pegawai AS berhujah bahawa ia tidak akan sesuai dengan sistem NATO dan mendedahkan F-35 kepada kemungkinan muslihat Rusia, namun Turki menegaskan bahawa S-400 tidak akan disepadukan ke dalam pengoperasian NATO dan tidak akan mendatangkan ancaman terhadap pakatan itu.

Ankara berkata keengganan awal Washington untuk menjual sistem peluru berpandu Patriotnya telah menyebabkan Turki mencari pilihan lain, sambil menambah bahawa Rusia telah memberikan tawaran yang lebih baik termasuk pemindahan teknologi – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!