Home Semasa Gaji, logistik dan keperluan anggota polis berpangkat rendah akan diberi keutamaan – KPN

Gaji, logistik dan keperluan anggota polis berpangkat rendah akan diberi keutamaan – KPN

by Bernama

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Gaji, logistik dan keperluan anggota polis berpangkat rendah akan diberi keutamaan dalam usaha meningkatkan integriti pasukan itu, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata gaji yang diperoleh golongan berkenaan iaitu daripada Sarjan ke bawah adalah rendah dan tidak mampu menampung kos sara hidup terutama bagi mereka yang bertugas di bandar-bandar besar.

“Saya minta kerajaan untuk timbang balik, sebagaimana ia dinikmati oleh polis Jepun, Hong Kong, Singapura, New Zealand, Australia dan di negara-negara maju.

Dengan cara ini sahaja, dengan meningkatkan gaji mereka ini dapat mengurangkan risiko rasuah dan godaan-godaan melakukan kesalahan ugut orang lain untuk mendapatkan duit dapat dikurangkan,” katanya.

Bercakap kepada Bernama dalam wawancara khas di sini, hari ini beliau berharap kerajaan menimbangkan perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai istimewa memandangkan mereka dibebankan dengan satu kuasa yang cukup luas dan bahaya.

“Apabila mereka ini tidak dapat ganjaran yang sebaiknya, kecenderungan mereka melakukan jenayah ini amat luas sekali,” katanya.

Abdul Hamid berkata dari segi kekuatan anggota, bilangan yang ada sekarang adalah mencukupi buat masa ini dan semua jawatan yang dipenuhi Jabatan Perkhidmatan Awam untuk pasukan itu mencukupi.

“Saya faham keadaan (kewangan) kerajaan ketika ini tetapi urusan keselamatan bukannya murah…saya merayu kepada kerajaan untuk memberikan lebih peruntukan dan insya-Allah sebagai KPN (Ketua Polis Negara), saya akan berusaha memastikan tidak akan berlaku penyelewengan dalam peruntukan-peruntukan yang diberi,” katanya.

Beliau berkata sebelum ini terdapat suara-suara yang mengatakan peruntukan yang diterima pasukan itu tidak sampai ke bawah dan ada dakwaan berlaku penyelewengan di peringkat negeri dan kontinjen.

“Kasut-kasut dan uniform tidak sampai ke bawah, anggota dan pegawai terpaksa menggunakan duit sendiri untuk menampung kos dan sistem berkehendakkan resit untuk mendapatkan bayaran balik,” katanya.

Menyedari keperluan anggota berpangkat rendah, Abdul Hamid berkata beliau akan mengemas kini logistik dalam PDRM dan hasil lawatannya ke balai-balai di beberapa tempat setakat ini mendapati ada yang dalam keadaan daif.

“Saya lihat ada satu balai nama balai Tanah Merah selepas Port Dickson, saya singgah di balai berkenaan yang ada 10 anggota, saya lihat berek-berek mereka memang teruk, memang daif, empat unit yang sepatutnya boleh menempatkan empat keluarga, rosak.

“Sepatutnya pembaikan tidaklah semahal mana jika dibandingkan mereka dibayar elaun RM300 sebulan selama setahun RM3,600 untuk satu keluarga di mana kerajaan terpaksa berbelanja untuk elaun rumah…itu elaun rumah sahaja,” katanya.

Beliau berkata kesukaran yang dihadapi oleh anggota sepatutnya tinggal di kuarters tetapi tinggal di rumah sewa ialah mereka bekerja tidak tentu masa dan terpaksa datang ke balai menggunakan kenderaan sendiri dengan perbelanjaan sendiri – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!