KUALA LUMPUR, 8 Jun – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yakin Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan mendengar pandangan dan kritikan terhadap keputusannya melantik Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mohamad berkata pelantikan Latheefa telah mengundang pelbagai kritikan dan pandangan terutama daripada peringkat dalaman Pakatan Harapan (PH).
“Saya berkeyakinan penuh Perdana Menteri mengambil perhatian tentang cara pelantikan dan menjadi kritikan serta pandangan tersebut sebagai satu ujian kepada kewibawaan Latheefa untuk menjalankan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
“Saya juga penuh yakin Perdana Menteri akan mendengar kritikan-kritikan terhadap keputusannya dan akan menilai prestasi Latheefa dari masa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau yakin jika prestasi Latheefa tidak memenuhi hasrat para pengkritik, Tun Dr Mahathir akan membuat penilaian semula.
“Keadaan ini akan menjadi kelegaan kepada kerajaan PH yang cuba memperbaharui segala bentuk tindakan dan persembahan pemerintahannya kepada masyarakat dan negara,” ujarnya.
Latheefa dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull untuk tempoh kontrak dua tahun berkuasa kuasa 1 Jun lalu.
Mohd Shukri memilih untuk memendekkan perkhidmatan kontrak beliau lebih awal daripada sepatutnya pada 17 Mei 2020.