KUALA LUMPUR, 1 Jun – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) merancang untuk memperoleh helikopter baharu bagi menggantikan pesawat Nuri, sebagai tambahan kepada aset sedia ada.
Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Panglima TUDM Jen Tan Sri Affendi Buang berkata perolehan berkenaan adalah terbuka kepada semua jenis helikopter termasuk pesawat Eurocopter EC725.
Beliau, bagaimanapun berkata TUDM sentiasa mengoptimumkan keupayaan pengoperasian aset sedia ada serta meningkatkan kebolehan pasukan itu.
Ditanya mengenai sama ada TUDM berminat memperoleh pesawat Yakovlev Yak-130 semasa lawatan beliau ke Rusia pada April lepas, Affendi berkata proses perolehan pesawat penggempur ringan itu masih di peringkat awal.
“Saya hanya menyaksikannya (pesawat Yak 130) pada Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019 baru-baru ini, dan saya ke sana hanyalah untuk memenuhi jemputan pihak Rusia untuk memperlihatkan pesawat berkenaan secara lebih dekat terutamanya sistem radar dan persenjataan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama dalam wawancara khas sempena Hari Ulang Tahun (HUT) TUDM ke-61 yang bakal disambut esok.
Pesawat berkenaan dibangunkan pada April 1996 mula memasuki perkhidmatan Tentera Udara Rusia pada 2009.
Pesawat berkelajuan maksimum 1,037 kilometer sejam (km/j) dan berkemampuan membawa sistem persenjataan peluru berpandu udara ke udara serta udara ke darat, Yak-130 menjadi pesaing utama beberapa pesawat jenis sama seperti Tejas dan FA-50/T-50 andai kerajaan Malaysia berhasrat memperkukuhkan aset TUDM pada masa akan datang.
Ditanya mengenai perkembangan projek pembangunan semula kemudahan di Pangkalan Sendayan, Negeri Sembilan, beliau berkata projek berkenaan masih belum disiapkan sepenuhnya.
“Ketika ini, penyediaan kemudahan berada di peringkat akhir dan menunggu sijil perakuan siap dan pematuhan,” katanya. – Bernama