KUALA LUMPUR, 1 Jun – Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PPMC) mempunyai beberapa program utama termasuk pertukaran kebudayaan, pendidikan dan pelancongan dalam usaha untuk mengeratkan hubungan diplomatik Malaysia dan China.
Presidennya, Datuk Abdul Majid Ahmad Khan berkata, persatuan tersebut turut bertindak sebagai jambatan yang menghubungkan permintaan dalam perdagangan dan ekonomi, selain menguatkan hubungan antara belia kedua-dua negara menerusi program pertukaran itu.
“Kita lihat ada banyak perubahan dan peningkatan dari segi hubungan baik Malaysia dan China.
“Sebagai contoh dari aspek pelancongan, 2.9 juta pelancong China datang ke Malaysia tahun lepas,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (BNC) di Wisma Bernama, malam tadi.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), berpendapat program pertukaran antara rakyat Malaysia dan China perlu dilaksanakan lebih agresif bagi meningkatkan pemahaman antara rakyat kedua-dua negara.
Menyentuh mengenai kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Malaysia akan terus menggunakan teknologi daripada syarikat teknologi utama China, Huawei seluas mungkin, Abdul Majid menyifatkan kenyataan Perdana Menteri itu sebagai berani dan kena pada tempatnya.
Beliau berkata, ia juga menunjukkan bahawa Mahathir mengiktiraf pencapaian China dalam bidang teknologi tinggi.
“Huawei adalah produk yang kompetitif, efisien dan menguntungkan pengguna. Ini pengiktirafan Dr. Mahathir bahawa negara Asia mampu mengeluarkan barang berteknologi tinggi apatah lagi negara itu menjalin hubungan kuat dengan kita dan produk mereka dapat diterima di pasaran.
“Kita tak kata produk AS (Amerika Syarikat) tidak bermutu. Ini soal kuasa pasaran,” katanya.
Mengenai perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat, Abdul Majid berkata, Malaysia harus menggalakan kedua-dua negara besar itu mencari titik damai serta formula kerjasama yang baik.
Katanya, China dan Amerika Syarikat mempunyai hubungan besar dengan semua negara dan ia memberi lebih keuntungan kepada Malaysia dan negara ASEAN lain sekiranya kedua-dua negara dapat bekerjasama. – Bernama