SINGAPURA, 1 Jun – Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu kini berada di Singapura bagi menghadiri 18th IISS Asia Security Summit Shangri-La Dialogue yang bermula 31 Mei hingga 2 Jun 2019 di Hotel Shangri-La, Singapura.
Dalam persidangan tersebut, beliau menyampaikan ucapan bertajuk ‘Asia’s Evolving Security Order and its Challenges’ semasa sesi plenari ketiga bersama-sama Menteri Pertahanan Perancis dan United Kingdom pada hari ini.
Perkara tersebut dinyatakan oleh pihak Kementerian Pertahanan Malaysia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.
Persidangan ini merupakan program tahunan bertaraf antarabangsa yang melibatkan tokoh-tokoh penting di kalangan kerajaan dan bukan kerajaan dari seluruh dunia. Dialog ini membincangkan isu-isu keselamatan semasa dan akan datang.
Pada masa yang sama, Mohamad turut mengadakan pertemuan dua hala dan pelbagai hala sesama rakan sejawatan bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan polisi pertahanan dan juga perkara-perkara berkaitan cabaran dalam mengekalkan keselamatan serantau di samping menubuhkan jaringan hubungan dan kerjasama pertahanan antara negara terlibat.