Home Pertahanan dan Keselamatan CAP55 jadikan TUDM sebagai kuasa udara berkeupayaan tinggi – Panglima Tentera Udara

CAP55 jadikan TUDM sebagai kuasa udara berkeupayaan tinggi – Panglima Tentera Udara

by Air Times News Network

SUBANG, 1 Jun – Perlaksanaan plan strategik CAP55 akan menjadikan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai sebuah pasukan tentera udara mempunyai keupayaan yang lebih tinggi dan jitu.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM semasa menyampaikan perutusan beliau bersempena Hari Ulang Tahun TUDM ke-61 di Dewan Ababil Pangkalan Udara Subang, hari ini.

Majlis Perutusan Panglima Tentera Udara turut dihadiri oleh Leftenan Jenaral (Lt Jen) Dato’ Sri Ackbal Abdul Samad TUDM, Timbalan Panglima Tentera Udara; Lt Jen Dato Sri Abd Mutalib Datuk Ab Wahab TUDM, Panglima Operasi Udara; dan Lt Jen Dato Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM, Panglima Pendidikan Dan Latihan Udara.

Turut hadir ke majlis ini panglima-panglima serta pegawai kanan TUDM.

Menurut Panglima Tentera Udara, TUDM akan mengorak langkah ke era baharu melalui perlaksanaan plan strategik CAP55 menjelang tahun 2021.

“Saya berharap CAP55 akan dapat dilaksanakan sebaik mungkin dengan kerjasama dan komitmen seluruh warga TUDM,

“Dengan ini, visi TUDM sebagai sebuah kuasa udara yang dominan akan terus,” kata Affendi.

Panglima Tentera Udara turut menyatakan keyakinan beliau bahawa TUDM mampu untuk mencapai matlamat serta objektif CAP55 bagi meneruskan kelangsungan TUDM sebagai kuasa udara yang mempertahankan kedaulatan dan kepentingan nasional.

TUDM menyambut ulang tahunnya pada tarikh 1 Jun setiap tahun. Tema sambutan tahun ini ialah ‘Kuasa Udara Kepentingan Nasional’.

Menyentuh tema sambutan ulang tahun kali ini, Panglima Tentera Udara berpendapat tema ini amat bertepatan dengan senario keselamatan serta pertahanan negara dan serantau masa kini.

“Kuasa udara bukan sahaja adalah satu keperluan malah ianya telah menjadi satu keutamaan bagi pertahanan sesebuah negara,

“Ini adalah disebabkan oleh sifat-sifat kuasa udara itu sendiri yang unik seperti reach, speed dan flexibility (capaian, kelajuan, dan fleksibiliti) yang menjadikan kuasa udara satu instrumen yang sangat berkemampuan lagi berkesan dalam menangani sebarang ancaman.” ujar beliau dihadapan kira-kira 250 orang hadirin.

Affendi turut menekankan bahawa TUDM merupakan satu organisasi yang mempertahankan kepentingan negara. Pada masa yang sama TUDM juga merupakan salah satu daripada kepentingan negara.

Majlis ini turut disiarkan melalui sidang video yang dipancarkan ke seluruh pangkalan dan unit TUDM di seluruh negara.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!