KUALA LUMPUR – Syazlin Mansor tidak sepatutnya menarik diri daripada prosiding inkues kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim walaupun beliau diarahkan tarik diri daripada mewakili Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Bomba, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, individu itu seharusnya meneruskan tugasnya sebagai peguam bagi keluarga Allahyarham Muhammad Adib jika betul ingin mencari kebenaran dalam kes itu.
“Peguam Negara sudah mengeluarkan kenyataan apa yang berlaku. Peguam ini adalah peguam keluarga Adib. Lepas itu jadi peguam kerajaan. Mana boleh. Sebab kerajaan melalui prosiding itu ingin tentukan sebab-sebab Adib meninggal.
“Pihak yang memilih peguam itu tidak sedar, dia sudah menjadi peguam untuk keluarga Adib. Apabila sudah diketahui, dia mesti tarik diri daripada mewakili kerajaan dan terus jadi peguam untuk keluarga Adib, tetapi dia tarik diri daripada semua dengan beranggapan ingin mencari kebenaran.
“Kebenaran boleh dapat dalam mahkamah kita. Sekarang ini perdana menteri tidak lagi berkuasa di mahkamah. Kalau kita tidak percaya di mahkamah, kepada siapa kita ingin percaya untuk buat keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini hari ini. – Bernama