PATTANI, 28 Mei – Dua termasuk seorang remaja maut dan 14 lagi cedera dalam satu kejadian letupan bom di pasar Ramadan di Pattani, selatan Thailand, pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira 4.15 petang (waktu tempatan) itu, orang ramai sedang membeli juadah berbuka di pasar ramadan di Pekan Bo Thong, Nong Chik, Pattani.
Ketua Polis Wilayah Pattani, Mej. Jen. Pol. Piyawat Chalermsi berkata, bom buatan sendiri seberat 15 kilogram itu telah diletakkan di sebuah motosikal dan diaktifkan dengan menggunakan walkie talkie.
Beliau berkata remaja, 14, meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang wanita berusia 35 tahun meninggal dunia di Hospital Pattani.
“Seramai 14 orang, termasuk empat renjer yang sedang mengawal keselamatan di tempat kejadian mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
‘Dalam kejadian itu, lima buah kenderaan rosak teruk akibat serpihan bom manakala beberapa buah premis perniagaan turut mengalami kerosakan,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian. – Bernama