Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Kapal terbesar Jepun JMSDF berlabuh di Pelabuhan Klang

Kapal terbesar Jepun JMSDF berlabuh di Pelabuhan Klang

by Bernama

KLANG, 26 Mei – Dua kapal dari negara matahari terbit, Japan Maritime Self Defense Force (JMSDF) JS Izumo (DDH-183) dan JS Murasame (DD-101) berlabuh di Pelabuhan Klang di sini dalam rangka lawatan empat harinya ke negara ini.

Ketibaan kapal berkenaan yang diketuai oleh Laksamana Muda Hiroshi Egawa di Terminal Boustead Cruise Centre, Pulau Indah di sini disambut Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Datuk Khairul Anuar Yahya.

JS Izumo seberat 19,980 tan dan sepanjang 248 meter merupakan kapal terbesar milik JMSDF manakala JS Murasame pula seberat 4,550 tan dan sepanjang 151 meter.

Kedua-dua kapal berkenaan dikendalikan kira-kira 600 anak kapal dan pegawai.

Dalam rangka lawatan berkenaan JMSDF bakal mengadakan beberapa pertemuan dengan pegawai tertinggi TLDM bagi memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara kedua-dua pihak.

Sementara itu dalam sidang akhbar, Khairul Anuar berkata kehadiran buat pertama kalinya kedua-dua kapal itu di negara ini diharap dapat meningkatkan lagi hubungan kerjasama antara Jepun dan Malaysia terutamanya dalam hal keselamatan maritim.

Dalam sidang media yang sama, Egawa berkata Jepun berminat untuk meningkatkan kerjasama antara negara Indo Pasifik mengenai keselamatan, pencegahan jenayah dan Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR).

“Dalam beberapa tahun ini, kami melihat banyak bencana di rantau ini dan kami (Jepun) mempunyai banyak pengalaman dalam HADR dan ingin berkongsi (dengan negara lain),” katanya – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!