PEKAN, 23 Mei – Keperibadian dan kasih seorang anakanda yang dimiliki Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah menyentuh hati semua yang berada di Balairung Seri Istana Abu Bakar di sini hari ini.
Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah pada pukul 10.40 pagi dengan diiringi anakanda baginda, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, meruntun hati semua yang berada di Balairung Seri apabila baginda dilihat sebak dan kerap mengesat air mata.
Suasana bertambah sebak apabila baginda memeluk kekanda-kekanda baginda di hadapan jenazah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Sultan Abu Bakar yang ditempatkan di ruangan tengah Balairung Seri itu.
Al-Sultan Abdullah seterusnya berkenan menunaikan solat jenazah yang diimamkan Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman dan sekali lagi dilihat mengesat air mata sebaik sahaja solat selesai.
Baginda seterusnya memeluk dan dilihat menenangkan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang sebelum itu memberi ruang kepada Al-Sultan Abdullah untuk memberi penghormatan terahir kepada almarhum. Bernama