TAWAU, 21 Mei – Askar Wataniah (AW) sebagai barisan kedua Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu dipermodenkan sejajar dengan fungsinya untuk memberi bantuan sokongan kepada ATM pada saat genting, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah AW juga memerlukan struktur organisasi yang lebih mantap supaya tindakan diambil berupaya mencapai tahap maksimum untuk mendapatkan hasil terbaik.
“Peranan dan tanggungjawab AW tidak terhad kepada kemampuan memikul senjata dengan kekuatan fizikal sahaja dan tugas mereka sangat diharapkan oleh masyarakat,” titah baginda selepas majlis berbuka puasa di Kem Rejimen 516 Askar Wataniah, di sini, malam tadi.
Sebelum itu, ketibaan baginda di kem tersebut disambut Komander rejimen berkenaan, Brigadier Jeneral Tan Sri Liew Yun Fah. Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Komander Rejimen 504 AW berpangkalan di Bukit Keteri, Padang Besar, Perlis, mengetuai delegasi kerajaan Perlis dalam ‘Ops Pasir’ untuk melawat dan menyampaikan sumbangan kepada pasukan keselamatan yang bertugas di perbatasan negara di Tawau.
Baginda turut mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada pasukan keselamatan yang berkorban masa dan tenaga melaksanakan tugas dan tanggungjawab agar rakyat dapat hidup dalam suasana aman dan tenteram.
“Rakyat perlu sematkan dalam jiwa bahawa Malaysia adalah negara berdaulat dan bagi menjamin keselamatan dan kestabilan kedaulatannya, setiap orang mestilah memainkan peranan supaya matlamat itu terpelihara,” titah baginda – Bernama