BELURAN, 19 Mei – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (EESSCOM) menahan seramai 10 individu disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi khas di Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) dekat sini Jumaat lepas.
Komander Esscom DCP Datuk Hazani Ghazali berkata mereka terdiri daripada sembilan lelaki dan seorang wanita berumur 16-52 tahun kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, termasuk mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan.
“Operasi yang bermula pukul 10 malam dan berakhir pada 2 pagi semalam (Sabtu) turut disertai oleh seorang anggota polis trafik daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran dan enam anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 Beluran.
“Operasi kali ini memberi tumpuan kepada lokasi yang disyaki sering menjadi laluan penyeludup barang kawalan dan bebas cukai serta kemasukan PATI ke daerah ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hazani berkata kesemua suspek telah dibawa ke IPD Beluran untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Beliau berkata pemantauan dan risikan di kawasan berkenaan akan terus dipergiat dan diperkasakan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras dan mengekang aktiviti penyeludupan dan kemasukan PATI melalui laluan tikus atau laluan tidak sah untuk masuk ke daerah-daerah berhampiran seperti Sandakan, Lahad Datu, Kunak dan Semporna.
Dalam operasi itu, beliau juga berkata Cawangan Trafik IPD Beluran telah mengeluarkan enam saman atas pelbagai kesalahan, antaranya tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan yang tamat tempoh dan membawa muatan yang berlebihan.
“Pada kali ini, saya telah meminta kerjasama daripada Cawangan Trafik IPD Beluran untuk sama-sama terlibat dalam operasi ini supaya saman boleh dikeluarkan dengan serta merta terhadap individu atau kenderaan yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang lalulintas,” katanya. – Bernama