KUALA LUMPUR, 16 Mei – Akibat terdesak membayar hutang judi dalam talian, seorang anggota tentera melakukan perbuatan pecah kedai beg tangan dan mencuri beg tangan berjenama mewah sebelum menjualnya ke kedai beg tangan yang lain.
Perbuatannya yang dilakukan sejak setahun lalu itu terbongkar apabila seorang pemilik kedai beg tangan berjenama mewah di Berjaya Times Square membuat laporan polis pada 3 Mei lepas tentang kedainya yang dipecah masuk dengan barangan berselerak dan beg tangan mewah jenama Chanel, Hermes dan beberapa jenama yang lain telah hilang.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata berdasarkan pengamatan rakaman litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, polis berjaya mengecam suspek berumur sekitar 30-an dan menahannya pada petang 9 Mei di perkarangan pejabat Kem Tentera Sungai Besi.
“Hasil pemeriksaan polis merampas 70 buah beg tangan mewah pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM250,000 serta sebuah kereta jenis Kia Spectra,” katanya kepada pemberita di IPD Dang Wangi pada Rabu.
Selain itu, katanya, hasil siasatan lanjut mendapati hanya 60 buah beg tangan mewah yang dikenalpasti milik mangsa manakala selebihnya dipercayai hasil daripada kegiatan pecah kedai.
Mohd Fahmi berkata suspek kemudian menjual semula beg tangan mewah yang dicuri itu kepada kedai beg tangan berjenama.
Suspek menjalankan modus operandinya dengan bergerak seorang diri ke kedai sasaran dan membuat pemerhatian ke atas barangan kedai sebelum memecah masuk kedai berkenaan.
Katanya kertas siasatan kes itu telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah kedai dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara hingga14 tahun, denda dan sebatan. – BERNAMA