Home Semasa Rakyat Kelantan bantah tutup kedai makanan semasa tarawih

Rakyat Kelantan bantah tutup kedai makanan semasa tarawih

by Bernama

KOTA BHARU, 8 Mei – Hari pertama umat Islam berpuasa, kerajaan Kelantan telah mencetuskan polemik terbaharu apabila memperkenalkan arahan menutup premis makanan bermula pukul 8.30 malam sehingga 10 malam sepanjang Ramadan ini.

Dalam satu surat arahan 6 Mei yang dikeluarkan oleh pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan berkata langkah itu bagi memastikan semua pihak dapat menghormati bulan Ramadan dan menggalakkan umat Islam menunaikan solat sunat tarawih di masjid atau surau.

Pelbagai reaksi diterima masyarakat termasuk pengusaha kedai makan yang rata-ratanya membantah arahan berkenaan sehingga membandingkan keadaan di Madinah dan Makkah yang sama sekali tidak ditutup ketika solat sunat itu.

Anak kepada bekas menteri besar Kelantan, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz sendiri secara terangan membantah arahan tersebut dalam entri Facebooknya semalam.

Sambil meminta kerajaan Kelantan menarik balik arahan itu dengan memberikan pendapat bahawa keputusan itu mengganggu keberkatan bulan Ramadan yang mahukan umat Islam mencari rezeki yang halal.

Tinjauan Bernama pada malam semalam juga mendapati sebahagian besar peniaga tidak menghiraukan arahan tersebut dengan membuka premis pada waktu berkenaan.

Para peniaga yang ditemui berkata arahan sedemikan sebenarnya seperti menyekat rezeki para peniaga.

“Siapa mahu membayar kerugian apabila perniagaan yang saya jalankan berpuluh tahun termasuk Ramadan tidak habis dijual,” kata seorang pengusaha colek terkenal di Kubang Kerian.

Beliau yang enggan disebut nama berkata ribuan ringgit telah dihabiskan pada setiap Ramadan membelikan bahan mentah seperti sotong, ketam dan ayam untuk menjual colek.

“Kalau buka pada pukul 10 malam, encik (penulis) rasa boleh habis kah makanan ini dan berapa ramai yang mahu datang membelinya ketika itu,” katanya.

Seorang lagi peniaga kedai makan, Azhar Ahmat, 47, tetap berkeras tidak bersetuju dengan arahan itu dan berkata walaupun pada dasarnya arahan itu adalah baik tetapi bukan kepada para peniaga.

Beliau mempersoalkan pula bagaimana arahan terhadap restoran makanan segera yang tidak dikenakan arahan yang sama dan menyifatkan ia sebagai sesutau yang langsung tidak adil dan tidak masuk akal.

Penulis turut bertemu orang ramai yang turut mempertikaikan arahan tersebut kerana ketika itu ramai yang pergi ke kedai makan bersama keluarga selepas berbuka ala kadar di rumah.

“Saya selalu membawa keluarga untuk makan pada waktu itu kerana tidak mahu bersesak sewaktu berbuka dan kalau tutup lebih baiklah kami masak sahajalah,” kata Hafizul Azram, 42.

Beliau berkata ramai umat Islam turut menunaikan solat tarawih di rumah jika tidak ke masjid atau surau dan tidak boleh mana-mana pihak membuat `pukul rata’ kononnya mereka yang makan ketika itu tidak menunaikan solat tersebut.

Arahan itu juga turut mendapat reaksi Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan negeri Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman yang menyentuh kemungkinan memberi sedikit kesan terhadap industri pelancongan di negeri ini.

Bagaimanapun untuk jalan selamat beliau memberikan pendapat tidak pasti sama ada arahan tersebut benar-benar memberikan kesan negatif atau positif kerana ia baru pertama kali dilaksanakan.

Sementara itu Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata arahan penutupan sementara itu sebenarnya masih di peringkat awal dengan pengusaha kedai makan dan restoran masih boleh meneruskan aktiviti perniagaan seperti biasa.

Katanya arahan belum lagi dikeluarkan kepada para peniaga kerana ia masih di peringkat pengurusan dan belum sampai ke peringkat bawah.

Bagaimanapun arahan terbaharu itu perlulah dibuat kajian yang mendalam terlebih dahulu oleh kerajaan Kelantan umpama “menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak” dan memberikan kebaikan kepada semua pihak. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!