KEMAMAN, 4 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah menahan 6 buah lagi bot nelayan penceroboh dari Vietnam pada 30 April lalu.
Keenam-enam bot tersebut ditahan oleh KM PEKAN di sekitar 154 hingga 160 batu nautika Timur Laut Kuala Kemaman.
“Kesemua bot ditahan dan ditangkap di sekitar kawasan carigali minyak negara yang berdekatan dengan sempadan perairan Malaysia – Vietnam,” jelas Pengarah Maritim Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Maritim Malaysia, semalam.
Menurut beliau, kaedah menangkap ikan sekitar sempadan perairan dilakukan oleh nelayan penceroboh adalah bagi memudahkan mereka untuk meloloskan diri dari ditahan penguatkuasa.
Dalam operasi tersebut, sebanyak 90 kilogram ikan campur, 18 kilogram sotong kering, diesel anggaran 600 liter dan peralatan menangkap ikan telah rampasan. Anggaran nilai rampasan adalah sekitar RM 3 juta.
Dalam masa yang sama, Rashidilhadi menegaskan operasi membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing akan diteruskan tanpa henti.
“Maritim Malaysia juga akan menggunakan pelbagai kaedah pelaksanaan operasi bagi melindungi hasil laut dan khazanahnya daripada dicuri dan dirompak oleh nelayan-nelayan asing,” jelasnya.
Pada 25 dan 26 April lalu, KM Pekan berjaya menahan 6 buah bot nelayan penceroboh dari Vietnam yang diantaranya telah dikesan menggunakan nombor pendaftaran secara klon.