KUALA LUMPUR, 30 Apr – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini telah berkenan mencemar duli ke tapak cadangan Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di Kem Transmitter, Sungai Besi.
Keberangkatan tiba Baginda dimulakan dengan taklimat ringkas oleh Pengarah Urusan, Pembinaan Serta Hebat Sdn Bhd, Shaik Ahmad Sufian di Pusat Jualan dan kemudianya Baginda meluangkan masa melawat rumah Contoh SASaR.
Menurut Sel Perhubungan Raya Tentera Darat, program SASaR yang diperkenalkan pada tahun 2018 bertujuan membantu warga dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memiliki rumah sendiri.
“Ia adalah sebahagian dari aspek kebajikan yang diperkenalkan dalam meningkatkan tahap kualiti serta keselesaan hidup warga ATM,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan sempena lawatan baginda.
Sebanyak 3,500 unit rumah bertingkat di bawah program ini akan dibina di kawasan seluas 23 ekar di Kem Transmitter, Sungai Besi yang diberi nama Residensi Satria Sungai Besi.
Daripada jumlah tersebut, 1,260 unit diperuntukkan kepada anggota perkhidmatan dan 540 unit kepada veteran Tentera Darat, 420 unit untuk anggota perkhidmatan dan 180 unit kepada veteran Tentera Laut Diraja Malaysia, dan 420 unit kepada anggota perkhidmatan dan 180 unit kepada veteran Tentera Udara Diraja Malaysia.
Pada masa yang sama, 500 unit pula diperuntukkan kepada warga awam Kementerian Pertahanan.
“Kementerian Pertahanan turut merancang untuk memperluaskan lagi perlaksanaan program ini ke seluruh Malaysia melalui kerjasama strategik bersama pihak swasta dan kerajaan negeri serta merialisasikan hasrat kerajaan yang mensasarkan untuk membina 1 juta Rumah Mampu Milik dalam tempoh 10 tahun bermula pada tahun 2018 sehingga 2028,” menurut kenyatan itu.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki Ali; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Haji Zainal Abidin; Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Hasagaya Abdullah dan wakil Panglima-Panglima perkhidmatan.
Program SASaR merupakan salah satu fokus yang terdapat dibawah Blueprint Perumahan Kementerian Pertahanan. Rancangan blueprint tersebut telah dilancarkan oleh Menteri Pertahanan pada ketika itu Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein di Port Dickson pada 3 April 2018 lalu.