Home Pertahanan dan Keselamatan KM Pekan tahan 63 nelayan asing rompak hasil laut tanah air bernilai RM 6 juta

KM Pekan tahan 63 nelayan asing rompak hasil laut tanah air bernilai RM 6 juta

by M.Daim

KUALA TERENGGANU, 28 April – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah berjaya menahan 6 buah bot nelayan penceroboh dari Vietnam yang menceroboh perairan negara pada 25 dan 26 April lalu.

Maritim Malaysia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari menyatakan kesemua bot nelayan penceroboh terbabit berjaya ditahan dalam satu rondaan selama 2 hari yang dijalankan oleh KM Pekan.

“4 daripada 6 bot nelayan Vietnam itu telah ditangkap di kawasan cari gali minyak minyak Negara berdekatan dengan sempadan perairan Malaysia-Vietnam manakala 2 lagi dikawasan yang berasingan,” Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli.

Salah sebuah bot nelayan penceroboh dari Vietnam bertindak melakukan gerakan bahaya untuk meloloskan diri dari KM Pekan. Foto: Maritim Malaysia

“Pada 25 April, bot pertama dengan nombor pendaftaran KG95198TS membawa 19 nelayan termasuk tekong ditahan di kedudukan 145 batu nautika timur Kuala Terengganu pada jam 7.30 pagi manakala bot kedua yang bernombor KG1916BTS membawa 9 nelayan termasuk tekong ditahan di kedudukan 142 batu nautika timur Kuala Terengganu pada jam 10.30 pagi,

“Bot ketiga, BL93683TS membawa 8 nelayan termasuk tekong ditahan di kedudukan 153 batu nautika timur Kuala Terengganu pada jam 12.05 tengahari dan bot keempat, KG9178BTS yang membawa 5 nelayan termasuk tekong ditahan di kedudukan 141 batu nautika timur Kuala Terengganu pada jam 4.01 petang,” kata Suffi.

Salah sebuah bot nelayan penceroboh dari Vietnam dikesan menggunakan nombor pendaftaran bot nelayan tempatan secara haram. Foto: Maritim Malaysia.

Beliau menambah, 2 daripada 6 bot yang berjaya ditahan disyaki sebagai bot klon kerana menggunakan nombor pendaftaran tempatan.

“Dua lagi bot disyaki bot klon dengan no pendaftaran TRF1306 membawa 18 nelayan termasuk tekong dan TRF1308 membawa 4 nelayan termasuk tekong ditahan pada 26 April di kedudukan 51 dan 53 batu nautika timur Kuala Terengganu pada jam 1.20 dan 1.55 tengahari,

“Kesemua tekong dan nelayan yang ditangkap seramai 63 orang berumur lingkungan 15 hingga 59 tahun termasuk 2 individu bawah umur,” jelas Suffi

Turut dirampas 1,700 kilogram ikan campur, 1,300 kilogram ikan baja, 80 kilogram sotong kering, diesel anggaran 7,000 liter dan peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai RM 6 juta secara keseluruhan.

Antara hasil laut negara yang dicuri oleh nelayan penceroboh dari Vietnam.
Foto: Maritim Malaysia

Kesemua bot dan hasil rampasan bersama nelayan Vietnam ini telah dibawa masuk ke Jeti Maritim Negeri Terengganu pada awal pagi 27 April dan akan disiasat di bawah Akta Perikanan kerana menangkap ikan di perairan negara secara haram dan menggunakan nombor pendaftaran klon pada kapal.

Selain daripada itu, kesemua nelayan-nelayan Vietnam akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c), Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

 

Related Articles

1 comment

Lagi nelayan penceroboh Vietnam ditahan, Maritim Malaysia ikrar terus lindungi laut negara – Air Times News Network 4 May 2019 - 7:57 am

[…] 25 dan 26 April lalu, KM Pekan berjaya menahan 6 buah bot nelayan penceroboh dari Vietnam yang diantaranya telah dikesan menggunakan nombor pendaftaran secara […]

Reply

Leave a Reply

error: Content is protected !!