PORT DICKSON, 23 April – Mejar Jeneral Dato’ Mohd Nazir Mami secara rasmi menjadi Panglima Latihan Tentera Darat (PLTD), menggantikan Mejar Jeneral Dato’ Wira Md Tajri Alwi mulai hari ini.
Majlis Serah Terima Tugas Panglima Latihan Tentera Darat berlangsung di Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat.
Md Tajri yang telah berkhidmat selama 41 tahun mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua anggota kerana setia membantu dan berkorban sepanjang melaksanakan tugasan bersama.
Pada masa yang sama, beliau turut menasihati anggota tentera agar menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan amanah.
“Saya amat tidak menyangka diberi peluang untuk menamatkan tempoh perkhidmatan di tempat asal saya memulakan kerjaya ini,” ucap beliau dalam nada sebak.
“Saya berharap agar anggota semua dapat mengekalkan kecemerlangan dalam Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat khasnya dan Tentera Darat (TD) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya,”pesan Md Tajri ketika majlis perpisahannya yang berlangsung selepas Majlis Perbarisan Serah Terima Tugas Panglima Latihan Tentera Darat.
Turut hadir Pengarah Pengurusan Latihan, Brig Jen Dato’ Hasim Jabar, Ketua Pengarah Doktrin, Brig Jen Dato’ Md Rahim Muhamad dan Komandan INSPEKA, Brig Jen Dr A. Endri Nixon.