Colombo, 23 Apr – Jurucakap kerajaan dan Menteri Kesihatan, Rajitha Senaratne dalam satu kenyataan memaklumkan, pengeboman terancang ke atas gereja dan hotel di seluruh negara ketika Easter kelmarin dilakukan kumpulan radikal tidak dikenali, Thowheeth Jama’ath Nasional (NTJ), dengan bantuan militan antarabangsa.
Menurut Rajitha Senaratne, pihak berkuasa percaya, NTJ menjadi dalang serangan kelmarin ke atas tiga gereja dan tiga hotel mewah yang mengakibatkan lebih 290 orang maut.
Pihak berkuasa berkata, 24 orang ditahan dan mereka sedang mencari kaitan antara kumpulan itu dan penyokong asing.
“Kami tidak melihat sebuah organisasi kecil dalam negara dapat melakukan kesemuanya,” kata Senaratne.
Kerajaan Sri Lanka mengakui, lebih 10 hari sebelum serangan, satu agensi perisikan asing memberi pegawai keselamatan amaran terperinci ancaman mungkin terhadap gereja oleh NTJ.
Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe berkata kelmarin, beliau dan pegawai atasan kerajaan tidak dimaklumkan mengenai ancaman itu dan ‘pihaknya perlu meneliti mengapa langkah berjaga-jaga tidak diambil.’
Ketua Polis Sri Lanka, Pujuth Jayasundara mengeluarkan amaran 11 April lalu, mengatakan ‘agensi perisikan asing’ melaporkan, NTJ merancang serangan ke atas gereja dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi India dengan pihak gereja mengakui serangan tidak mustahil.
NTJ adalah kumpulan kecil Islam yang diasaskan sekurang-kurangnya tiga tahun lalu di timur Sri Lanka, dan sehingga bulan ini, kumpulan itu secara umum dianggap anti-Buddha, kata pakar anti-keganasan, lapor berita agensi NYT/AFP.