Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Rejimen Askar Jurutera Diraja komited laksana projek jiwa murni berskala besar

Rejimen Askar Jurutera Diraja komited laksana projek jiwa murni berskala besar

by Nurulhuda

KLUANG, 22 Apr – Ketua Jurutera Ke-14 Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Mejar Jeneral Dato’ Pahlawan Haji Ahmad Nasir Haji Abd Rahman menyatakan RAJD komited untuk meneruskan pelaksanaan projek-projek jiwa murni berskala besar di kawasan pendalaman negeri Sabah dan Sarawak.

“Ketika ini, RAJD masih lagi meneruskan pelaksanaan projek-projek jiwa murni berskala besar di kawasan pendalaman negeri Sabah dan Sarawak,” kata Ahmad Nasir ketika menyampaikan Perutusan Perbarisan Hari RAJD Ke-66 di Padang Kawad Institut Kejuruteraan Medan Tentera Darat (IKEM), Kem Mahkota hari ini.

Selain daripada itu, beliau turut menyatakan RAJD telah diberikan kepercayaan oleh Tentera Darat (TD) dalam melaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan bangunan, infrastruktur serta kemudahan latihan di dalam kem-kem TD dan perancangan ini akan diteruskan pada tahun-tahun mendatang.

“Didalam pembangunan TD yang melibatkan RAJD, pembinaan kem untuk menempatkan 2 Skuadron (Skn) RAJD dalam memberi bantuan kepada 9 Briged Infantri di Sibu, Sarawak telah pun dimulakan dan dijangka dapat disiapkan pada tahun 2022,” ujar Ahmad Nasir.

Beliau turut menyatakan Jabatan Arah RAJD telah mendaftarkan keperluan untuk mengadakan elemen Rejimen Bantuan, Skn Medan, Skn Jambatan, Skn CBRNe, memindahkan 21 Skn Askar Wataniah ke Sarawak dan menubuhkan sebuah Skn Askar Wataniah di Sabah. Langkah ini diambil untuk mengimbangi kekuatan di antara Pemerintahan Barat dan Timur

Ahmad Nasir yang juga merangkap Pengerusi Kor RAJD Ke-11 juga menzahirkan ucapan terima kasih pada veteran-veteran RAJD khususnya mantan-mantan Ketua Jurutera, bekas Pegawai Kanan RAJD dan mantan-mantan Sarjan Mejar Rejimen Terkanan RAJD.

Beliau hadir ke Perbarisan Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen Askar Jurutera Diraja ke-66 di Kem Mahkota, Kluang, Johor. Perbarisan yang melibatkan seramai 15 pegawai dan 209 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Leftenan Kolonel Ramli Jumaat.

“Kehadiran semua warga veteran telah mempamerkan sikap kekeluargaan dan keutuhan dibawah satu kor yang dikenali sebagai Rejimen Askar Jurutera Diraja”, ujar Pengerusi Kor RAJD.

Beliau juga berharap seluruh warga RAJD dapat menanamkan sikap positif serta iltizam yang tinggi untuk meneruskan komitmen dalam pelaksanaan latihan secara berterusan sejajar dengan hasrat pucuk pimpinan tertinggi Tentera Darat yang telah mengisytiharkan Tahun 2019 sebagai tahun latihan dan pelajaran.

Dengan bertemakan “Tekun Berlatih, Perkasa Keupayaan” perbarisan Hari RAJD juga turut diserikan dengan penyampaian anugerah Sijil Kepujian Ketua Jurutera bagi Tahun 2019 kepada pegawai, anggota dan kakitangan awam yang telah mempamerkan prestasi kerja yang cemerlang.

RAJD telah mengatur pelbagai aktiviti pada 15 hingga 22 April lalu bersempena Hari RAJD. Antara aktiviti yang dijalankan adalah pembinaan dua buah rumah kediaman bekas anggota RAJD di Kota Bahru Kelantan dan Simpang Pertang, Melaka.

Selain itu, turut diadakan juga Pertandingan SkilRAJD diantara Markas Div dan pasukan gabungan. Majlis Tahlil dan Khutbah Khas, Perlawanan Bola Sepak antara Detasmen Perbarisan, Program Derma Darah, Ceramah Perdana dan Program Kebajikan Isteri Ketua Jurutera serta aktiviti Riadah isteri Warga RAJD turut diadakan.

Turut hadir ke Perbarisan Hari RAJD ke-66 ialah Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan, Brig Jen Dato’ Pahlawan Ir Chapiti Hj Redzwan; Pengarah Bahagian Geospatial Pertahanan, Brig Jen Sr Dr Mohd Zambri Mohamad Rabab; Komander Jurutera Medan Barat Markas RAJD, Brig Jen Ir Abdul Hamid bin Mohd Isa dan Pegawai-pegawai Kanan serta veteran Kor RAJD.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!