KUALA LUMPUR, 21 April – Pihak Wisma Putra hari ini menyatakan tiada rakyat Malaysia dilaporkan maut mahupun cedera dalam kejadian letupan di beberapa buah gereja dan hotel di Sri Lanka.
Perkara tersebut disampaikan oleh Wisma Putra melalui satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.
Dalam kenyataan yang sama, Wisma Putra menyatakan pendirian Malaysia yang mengutuk serangan tersebut dan berharap dalang disebalik kejadian tersebut dibawa ke muka pengadilan.
Wisma Putra turut menggesa rakyat Malaysia yang berada di Sri Lanka untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa.
Beberapa kejadian letupan berlaku pada pukul 8.45 pagi waktu Sri Lanka (10.45 waktu Malaysia) telah menyebabkan kira-kira 156 orang maut mankala 500 lagi cedera. Kejadian berlaku di tiga buah gereja dan tiga buah hotel bertaraf 5 bintang di beberapa lokasi di Sri Lanka.