Home Semasa Kerajaan jangan buang masa dan banyak bercakap – Sultan Johor

Kerajaan jangan buang masa dan banyak bercakap – Sultan Johor

by M.Daim

JOHOR BAHRU, 14 April – Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar hari ini bertitah pihak kerajaan sepatutnya berikan perhatian kepada usaha untuk membantu rakyat serta meningkatkan kemajuan ekonomi negara, bukannya membuang masa dan banyak bercakap.

“Suka juga saya nasihatkan kepada pihak kerajaan supaya janganlah membuang masa dengan banyak bercakap tentang perkara yang tidak berfaedah, menabur fitnah dan mereka-reka cerita hanya untuk menarik perhatian atau mengelirukan rakyat,”

“Sebaliknya, tumpukanlah perhatian untuk membantu kehidupan rakyat yang susah dan meningkatkan kemajuan ekonomi negara,” titah Sultan Johor di laman sosial rasmi Facebook milik baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan untuk menyempurnakan Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor di Istana Bukit Serene pada hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-17 pada pukul 9.30 pagi tadi. Beliau merupakan Adun Bukit Kepong telah mengambil alih tugas Dato’ Osman Sapian yang telah meletak jawatan sebagai Menteri Besar Johor ke-16 pada 8 April lalu.

Sultan Johor turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Sahruddin dan berharap beliau dapat memikul tanggungjawab sebagai seorang Menteri Besar Johor dengan baik.

“Saya harap beliau akan dapat memikul tanggungjawab dengan jujur, ikhlas dan amanah, serta mengutamakan kepentingan Negeri berbanding kepentingan diri atau politik, demi kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran ekonomi Negeri Johor,” titah Sultan Ibrahim.

Baginda turut bertitah bahawa baginda mahu Sahruddin memberi keutamaan kepada isu pencemaran sungai bagi memastikan sumber air mentah sentiasa bersih dan mampu bertahan untuk jangka masa panjang.

Pada masa yang sama, Sultan Ibrahim turut menegaskan bahawa kedaulatan Negeri Johor, kesucian agama Islam dan keistimewaan orang Melayu hendaklah sentiasa dipelihara daripada diganggu-gugat oleh pihak luar yang berselindung disebalik perjuangan hak asasi manusia.

“Sesungguhnya Kerajaan Johor telah lama wujud dan mempunyai adat dan cara pemerintahan yang tersendiri. Tidak perlu ada pihak luar yang sibuk melompat-lompat tidak tentu arah bercerita tentang siapa yang berkuasa dan bagaimana untuk mentadbir Negeri Johor,” titah baginda.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!