LANGKAWI, 25 Mac – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA ’19) bakal meletakkan Malaysia dalam landasan tepat untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti dan memperluas rantaian komunikasi.
“Kerjasama bersama pemain industri aeroangkasa dan maritim juga merupakan tarikan utama LIMA ’19 edisi kali ini,” Sabu ketika berucap semasa majlis jamuan teh bersama pengamal media di Resorts World Langkawi hari ini.
Pameran dwitahunan yang memasuki edisi ke-15 ini akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad pada hari esok. LIMA’19 akan berlangsung mulai 26 Mac sehingga 30 Mac 2019.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memuji pengamal media tempatan dan antarabangsa kerana memberi liputan dan promosi LIMA ’19 secara meluas. Menurut beliau, usaha oleh pengamal media merupakan antara faktor ruang pameran penuh ditempah syarikat pempamer tempatan dan antarabangsa.
Sebanyak 406 syarikat pertahanan dan komersial dari 32 buah negara telah mengesahkan penyertaan mereka dalam LIMA ’19. Jumlah ini melibatkan sebanyak 206 syarikat tempatan serta 200 syarikat antarabangsa.
Segmen maritim untuk LIMA’19 menyaksikan persembahan dan demonstrasi menyelamat tebusan oleh gabungan pasukan elit dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Demonstrasi maritim yang diadakan di Resort World Langkawi ini adalah berkonsepkan misi menyelamat dengan kerjasama pelbagai agensi (inter-agency coordinated rescue mission).
Pameran LIMA ’19 dianjurkan secara bersama oleh EN Projects (M) Sdn Bhd, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan bertemakan “Defence and Commercial Connecting Intelligence”.