KUALA LUMPUR, 11 Mac – Timbalan Speaker Parlimen, Nga Kor Ming bersedia untuk memaafkan Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung tuduhan terhadap dirinya sebagai anak saudara Chin Peng.
Beliau menyatakan perkara tersebut selepas Asyraf meminta maaf atas tuduhan yang dilemparkan terhadap Nga yang juga merupakan Timbalan Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Teluk Intan.
“Sebagai insan yang beriman, saya bersedia untuk maafkan saudara Dr Asyraf Wajdi,” kata Nga di akaun Twitter kendalian beliau, semalam.
Beliau turut mengajak parti UMNO dan PAS untuk meninggalkan politik perkauman dan fahaman ekstrim agama. Menurut Nga, kedua-dua parti itu perlu meninggalkan budaya tersebut bagi demi bangsa dan negara Malaysia.
Terdahulu, Asyraf membuat permohonan maaf kepada Nga atas tuduhan beliau yang menyatakan Nga sebagai anak saudara kepada pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng.
Permohonan maaf tersebut dibuat melalui kenyataan balas Asyraf kepada Nga melalui akaun Twitternya. Namun, beliau turut meminta Ahli Parlimen Teluk Intan untuk memohon maaf kerana mendakwa negara ini akan menjadi seperti Afghanistan jika pakatan Umno-PAS mendapat kuasa.
“Baiklah saya minta minta maaf kerana mengatakan YB anak saudara Chin Peng. Tapi YB juga kena minta maaf kepada seluruh rakyat kerana menggambarkan negara akan menjadi seperti Afghanistan jika Umno-PAS memerintah negara,” kata Asyraf.